Skip to main content

Malaysia

Tarikh akhir permohonan lepasan SPM ke IPT dilanjut sehingga 13 April

upu online, uum
Dr. Azlinda, Pengerusi LPU UUM, Tan Sri Dr Mazlan Yusuf dan Dr. Ahmad Martadha menyaksikan pelajar dan ibu bapa mendapatkan khidmat nasihat permohonan melalui UPUOnline. - Gambar UUM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melanjutkan tempoh permohonan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pengajian tinggi melalui platform UPUOnline sehingga 13 April, Isnin pukul 12 tengah hari.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, setakat ini, jumlah permohonan diterima UPUOnline bagi lepasan SPM adalah seramai 238,524 calon.

“Bagi kategori lepasan STPM atau setaraf pula, seramai 112,488 orang telah mengemukakan permohonan menjadikan jumlah keseluruhan 351,012 calon lepasan sekolah. Sementara  jumlah keseluruhan calon yang telah membeli nombor pin UPUOnline adalah seramai 379,578 orang.

"Walaupun tempoh pelanjutan tersebut tidak panjang, ia mencukupi bagi memberi peluang calon membuat permohonan saat akhir dalam bidang-bidang pilihan mereka. Bagi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf pula, permohonan Fasa 2 akan dibuka juga pada 13 April ini," katanya dalam satu kenyataan sempena perasmian Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) zon utara 2026 hari ini.

Advertisement

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.

Menurutnya lagi, jumlah permohonan tinggi itu menunjukkan minat dan kepercayaan dalam kalangan generasi muda terhadap peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi ketika negara berada dalam era perubahan besar seperti Revolusi Industri 4.0, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), peralihan kepada ekonomi digital dan transformasi hijau yang membentuk semula landskap pekerjaan dan kehidupan.

"Oleh itu, sangat penting lepasan persekolahan mendapatkan maklumat tepat dan bimbingan jelas dalam membuat permohonan disebabkan banyak kerjaya baharu sedang muncul dan peluang pekerjaan lama telah berubah atau menjadi semakin kurang relevan.

"Di pihak KPT, pelaksanaan Karnival JMU 2026 merupakan kesungguhan kerajaan menyediakan jambatan penghubung cita-cita anak bangsa dengan masa depan pendidikan tinggi negara.

"Ini kerana, JMU menjadi wadah strategik negara dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi secara inklusif dan menyeluruh kepada lepasan sekolah selain menyediakan platform supaya pelajar dapat membuat keputusan penuh bijaksana dan berpandangan jauh," jelasnya.

Ibu bapa, pelajar dan pihak berkepentingan boleh mendapatkan pelbagai maklumat seperti syarat kelayakan, kepelbagaian program akademik, pinjaman pendidikan dan biasiswa serta berinteraksi secara langsung dengan wakil institusi dan kaunselor akademik.

Universiti Utara Malaysia (UUM) dipilih sebagai tuan rumah JMU zon utara meliputi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak dengan jangkaan 20,000 pelajar, ibu bapa dan pengunjung akan hadir bermula hari ini sehingga esok.

Dalam pada itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, JMU menyediakan lebih 50 reruai terdiri daripada wakil Universiti Awam (UA) dan swasta serta pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan tinggi.

"Paling utama, penyediaan sesi konsultasi UPUOnline, pembiayaan pendidikan tinggi dan aktiviti-aktiviti interaktif bagi membolehkan pelajar dan pengunjung memperoleh maklumat tepat sebelum membuat permohonan ke institusi pendidikan tinggi.

"UUM sendiri menawarkan pendidikan tinggi berkualiti seperti program perakaunan, kewangan, undang-undang, pendidikan, logistik dan pengangkutan yang telah diiktiraf sebagai terbaik dalam negara dan di peringkat antarabangsa," katanya.
 

Must Watch Video