KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan ekuiti Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan prestasi yang menggalakkan, kata penganalisis.

Pada 9.37 pagi, ringgit berada pada 4.7630/7665 berbanding dolar AS daripada 4.7570/7645 ditutup semalam.

Beliau berkata ini menunjukkan permintaan yang positif daripada pelabur dengan pendirian Rizab Persekutuan AS bahawa kadar mungkin tidak diturunkan dengan cepat.

"Sehubungan itu, ia kekal tidak pasti bahawa ini akan membawa kepada ringgit yang lebih kukuh walaupun petunjuk teknikal berada pada kedudukan terlebih jual, situasi yang mungkin terdapat pembetulan.

"Kami percaya ringgit akan berada pada sekitar RM4.76 berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tumpuan hari ini adalah sama ada Indeks Harga Pengguna (IHP) China akan terus mencatatkan data negatif untuk bulan keempat berturut-turut.

"Jika sedemikian, ia boleh menimbulkan persoalan sama ada kerajaan China akan mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan rangsangan ekonomi bagi memacu aktiviti ekonomi," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding yen Jepun apabila ia meningkat kepada 3.2137/2163 daripada 3.2159/2212 semalam.

Ia merosot berbanding pound kepada 6.0152/0196 daripada 6.0095/0190 semalam dan susut berbanding euro kepada 5.1326/1364 daripada 5.1233/1314 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5460/5489 daripada 3.5415/5474 pada Rabu dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.3676/3819 daripada 13.3650/3917 semalam.

Ia turut rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 304.5/305.0 daripada 304.2/304.8 pada Rabu dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.51/8.53 daripada 8.50/8.52 sebelum ini.

-- BERNAMA