KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Rabu, di tengah-tengah laporan inflasi negara maju itu yang mengatasi jangkaan awal dan membayangkan kemungkinan pihak Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah pada paras semasa.

Pada 9 pagi ini, ringgit susut ke paras 4.7820/7880 berbanding dolar AS daripada 4.7600/7665 pada akhir urus niaga semalam.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan terkini itu turut melonjakkan Indeks Dolar AS (DXY) sebanyak 0.68 pratus kepada 104.879 mata.

Biro Statistik Tenaga Kerja AS (BLS) melaporkan inflasi yang diukur oleh perubahan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), turun kepada 3.1 peratus pada Januari 2024 daripada 3.4 peratus yang dicatatkan pada Disember 2023.

Angka terbaharu itu mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 2.9 peratus.

Berikutan itu, katanya, Rizab Persekutuan dijangka mengekalkan kadar faedah yang stabil sehingga benar-benar yakin bahawa inflasi akan mencecah sasaran pada dua peratus.

"Mata wang utama seperti euro dan dolar AS serta dolar AS/yen Jepun juga rendah berbanding dolar AS. Oleh itu, ringgit mungkin kekal rendah berbanding dolar AS pada hari ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1734/1776 daripada 3.1827/1872 pada akhir dagangan Isnin, mengukuh berbanding pound Britain kepada 6.0186/0262 daripada 6.0243/0325 serta meningkat berbanding euro pada 5.1191/1256 daripada 5.1256/1326.

Pada masa sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN, namun mengukuh berbanding baht Thailand pada 13.2484/2701 daripada 13.3240/3478, semalam.

Ringgit bagaimanapun turun berbanding peso Filipina kepada 8.51/8.53 daripada 8.50/8.52, susut sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.5391/5438 berbanding 3.5377/5428 dan rendah berbanding rupiah Indonesia pada 306.4/306.9 daripada 305.0/305.6, semalam.

-- BERNAMA