KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga Khamis apabila dolar kembali kukuh di tengah-tengah pergolakan Credit Suisse, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut nilai kepada 4.5050/5115 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam di paras 4.4810/4870.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan ketara harga saham Credit Suisse telah memberikan tekanan kepada aset perbankan.

"Situasi dinamik sedemikian telah menyokong nilai dolar AS, menyaksikan Indeks Dolar AS (DXY) memperoleh 1.1 peratus kepada 104.736 mata," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata mod menghindar risiko telah menjadi lebih ketara apabila pelabur berusaha mencari perlindungan daripada ketidaktentuan pasaran yang lebih besar selain menyedari bahawa harga aset berisiko telah turun, begitu juga dengan hasil Perbendaharaan AS.

"Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun menyusut 24 mata asas untuk ditutup pada 3.45 peratus," katanya sambil menambah gandingan USD/MYR boleh bertahan sekitar RM4.4900 hari ini.

Sementara itu, ringgit tempatan diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4393/4472 daripada 5.4292/4364 pada penutup Rabu dan lemah berbanding yen Jepun menjadi 3.3781/3837 daripada 3.3405/3453 semalam, tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.7699/7768 daripada 4.7853/7917 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit turut diniagakan lebih rendah berbanding mata wang Asean yang lain.

Ringgit menyusut nilai berbanding baht Thailand kepada 13.0395/13.0641 daripada 12.9415/9675 semalam, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 292.70/293.30 daripada 291.20/291.80 pada Rabu, turun berbanding dolar Singapura menjadi 3.3353/3406 daripada 3.3291/3341 dan rendah berbanding peso Filipina pada 8.18/8.20 daripada 8.15/8.17 sebelumnya.

-- BERNAMA