Skip to main content

Bisnes

Krisis Asia Barat meruncing asak Bursa Malaysia ditutup rendah

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FBM KLCI turun 3.97 mata kepada 1,676.86 daripada paras penutup 1,680.83, semalam. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan lebih rendah bagi hari keempat berturut-turut susulan pendirian pelabur yang lebih bertahan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang meruncing.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.97 mata kepada 1,676.86 daripada paras penutup 1,680.83, semalam.

Advertisement

Sewaktu pasaran dibuka, indeks penanda aras itu menokok 3.22 mata kepada 1,684.05 dan bergerak dalam julat 1,673.14 hingga 1,687.60 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 538 berbanding 343 manakala 632 lain tidak berubah, sebanyak 1,134 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.55 bilion unit bernilai RM2.58 bilion daripada 2.86 bilion unit bernilai RM2.72 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen berhati-hati masih ketara di peringkat domestik yang menyaksikan pelabur mengambil pendirian bertahan daripada mengambil kedudukan baharu berikutan senario luaran yang tidak menentu.

Beliau berkata kekurangan aliran masuk dana asing yang kukuh terus mengehadkan momentum peningkatan, sekali gus menyebabkan indeks utama itu terdedah kepada risiko penurunan berikutnya.

“Kami menjangkakan pasaran kekal tidak menentu dalam masa terdekat ini apabila pelabur terus memantau krisis Asia Barat dan (pergerakan) harga minyak.

“Ketiadaan berita positif yang jelas itu berkemungkinan menyebabkan FBM KLCI kekal dalam julat 1,660 hingga 1,700 sepanjang minggu ini dan cenderung susut,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran bertukar menjadi lebih berhati-hati ketika penggiatnya memantau perkembangan semasa, termasuk tarikh akhir Presiden Donald Trump ke atas Iran.

Beliau berkata Trump bertindak meningkatkan ancamannya terhadap Iran dengan mengugut untuk membedil prasarana awam, termasuk jambatan dan loji janakuasa jika tiada sebarang persetujuan dicapai bagi membuka semula Selat Hormuz.

“Ini turut mencetuskan kebimbangan ketara dari segi undang-undang dan etika ketika segelintir pakar memberi amaran tindakan itu hanya menimbulkan persoalan serius di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan meletakkan pegawai tentera AS dalam kedudukan sukar antara pematuhan operasi dan obligasi undang-undang,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, pasaran serantau juga menyaksikan dagangan yang bercampur-campur dengan sentimen terus dijejaskan oleh ugutan terbaharu Trump untuk membedil kemudahan awam jika Selat Hormuz terus ditutup.

 Indeks Nikkei 225 Jepun menokok 0.03 peratus kepada 53,429.56, indeks KOSPI Korea Selatan naik 0.82 peratus kepada 5,494.78, Indeks Straits Times Singapura sebaliknya susut 0.29 peratus kepada 4,958.01 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.70 peratus kepada 25,116.53.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi IHH Healthcare untung 10 sen kepada RM8.69, CelcomDigi meningkat lima sen kepada RM3.06, TNB kekal tidak berubah pada RM14, Maybank rugi enam sen kepada RM11.16 manakala Public Bank turun empat sen kepada RM4.60.

Bagi kaunter paling aktif, Tanco naik empat sen kepada RM1.61, Astro tidak berubah pada 7.5 sen, Reneuco merosot 1.5 sen kepada setengah sen dan Zetrix AI turun satu sen kepada 74 sen.

Kaunter paling untung didahului oleh Petronas Dagangan yang naik 28 sen kepada RM20.96, Hong Leong Bank dan Allianz masing-masing menokok 26 sen kepada RM21.50 dan RM20.66 manakala Petronas Chemicals meraih 13 sen kepada RM5.88.

Sebaliknya kaunter paling rugi, Nestle susut RM1.80 kepada RM98.30, Fraser & Neave merosot 38 sen kepada RM28.70, United Plantations berkurangan 34 sen kepada RM33.86 dan Malaysian Pacific Industries turun 30 sen kepada RM29.00.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Top 100 merosot 32.03 mata kepada 12,115.88, Indeks FBM Emas berkurangan 32.82 mata kepada 12,261.25, Indeks FBM Emas Shariah turun 20.25 mata kepada 12,144.01, Indeks FBM ACE menguncup 15.88 mata kepada 4,284.58 manakala Indeks FBM Mid 70 susut 59.24 mata kepada 16,949.24. 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 80.94 mata kepada 19,586.12, Indeks Perladangan turun 22 mata kepada 9,095.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.10 mata kepada 183.05 selain Indeks Tenaga susut 0.18 mata kepada 811.38.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan turun kepada 1.79 bilion unit bernilai RM2.44 bilion berbanding 1.88 bilion unit bernilai RM2.56 bilion, semalam.

Jumlah waran turun kepada 526.26 juta unit bernilai RM53.44 juta daripada 737.32 juta unit bernilai RM67.73 juta sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 229.79 juta unit bernilai RM84.51 juta berbanding 247.03 juta unit bernilai RM94.07 juta sebelum ini.

Saham produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 162.73 juta unit yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (338.34 juta), pembinaan (147.67 juta), teknologi (172.83 juta), perkhidmatan kewangan (60.47 juta), hartanah (118.25 juta), perladangan (42.23 juta), amanah pelaburan hartanah (16.98 juta), dana tertutup (52,000), tenaga (371.92 juta), penjagaan kesihatan (246.25 juta), telekomunikasi dan media (66.98 juta), pengangkutan dan logistik (26.04 juta), utiliti (26.16 juta) serta amanah perniagaan (206,500).

-- BERNAMA

Must Watch Video