KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, memandangkan prestasi mata wang negara maju itu dipengaruhi oleh data Permit Bangunan yang lebih rendah berbanding jangkaan selain indeks dolar lemah.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1230/1270 berbanding dolar AS daripada 4.1250/1280 ketika penutupan dagangan Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pasaran akan menumpukan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) hari ini, yang mungkin merangkumi beberapa petunjuk mengenai dasar monetari bagi bulan-bulan akan datang.

"Dari sudut pandang teknikal, pasaran telah mengalami dagangan di bawah paras rintangan penting 4.1350. Sekiranya harga meningkat melepasi paras tersebut, kenaikan boleh dilihat sehingga Jumaat," katanya.

Rakan Kongsi Pengurusan Global, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pelabur akan melihat bagaimana unjuran ekonomi Rizab Persekutuan berubah dan kesan masa depan terhadap program pembelian asetnya.

Beliau berkata selain itu, ringgit susut secara ketara, terutama berbanding kenaikan harga komoditi dan aliran masuk bon asing yang besar.

"Kadar dolar AS yang lebih tinggi dan ketidaktentuan kadar Fed tetap menjadi risiko utama, namun persaingan ringgit mungkin tertangguh berikutan perintah kawalan pergerakan mungkin berpanjangan," katanya kepada Bernama.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0970/1009 daripada 3.1010/1038 ketika ditutup pada Selasa dan naik berbanding yen pada 3.7819/7859 daripada 3.7868/7903.

Unit tempatan juga kukuh berbanding pound Britain kepada 5.8505/8579 daripada 5.8583/8646 semalam dan tidak berubah berbanding euro pada 5.0391/0457 daripada 5.0391/0444.

-- BERNAMA