KUALA LUMPUR: Ringgit kembali meningkat daripada penurunannya apabila dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, berikutan perkembangan positif yang dialami pasaran pertukaran mata wang asing Asia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minat risiko bertambah baik selepas perhatian didapati beralih kepada yen Jepun apabila Bank Of Japan (BOJ) dilihat akan mengubah pendiriannya tidak lama lagi selepas kekal mengalami keadaan terlebih akomodatif.

Pada 9.15 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6660/6700 berbanding dolar AS daripada 4.6720/6765 ketika ditutup pada Khamis.

Beliau berkata BOJ telah mengekalkan kadar dasarnya pada -0.1 peratus sejak Januari 2016 hingga kini.

Kadar inflasi Jepun telah melepasi sasaran dua peratus sejak sekian lama dengan Indeka Harga Pengguna (IHP) keseluruhan dan teras masing-masing berada pada 3.2 peratus dan 2.7 peratus pada Oktober.

Mohd Afzanizam berkata oleh itu, yen Jepun mencatatkan kenaikan ketara sejak akhir-akhir ini kepada 144.15.

Ini berlaku memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengekalkan Kadar Dana Fed tidak berubah minggu depan apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) kembali bersidang pada 12 dan 13 Dis, 2023.

"Justeru, ringgit sepatutnya kekal stabil hari ini pada kira-kira RM4.67 hingga RM4.68 berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding pound kepada 5.8778/8828 daripada 5.8802/8858 semasa ditutup pada Khamis.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.2632/2662 daripada 3.2243/2276 danlemah berbanding euro kepada 5.0374/0417 daripada 5.0359/0408 semalam.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.45 daripada 8.45/8.46 pada Khamis namun susut berbanding baht Thailand kepada 13.2916/3086 daripada 13.2803/3014.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4912/4947 daripada 3.4884/4920 serta lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 300.6/301.1 daripada 301.0/301.5 sebelum ini.

-- BERNAMA