BISNES
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Pada 8.01 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2190/2365 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan minggu lepas, dibuka tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama, disokong oleh Indeks Dolar AS (DXY) yang rendah berikutan jangkaan pengurangan cukai dan perbelanjaan yang sedang dipertimbangkan di Senat Amerika Syarikat (AS).
Pada 8.01 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2190/2365 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2355 semasa ditutup pada Khamis lepas.
DXY AS kini berada pada 97.151 mata, merosot sebanyak 0.26 peratus daripada paras ditutup sebelum ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Senat AS sedang mempertimbangkan untuk meluluskan langkah-langkah pemotongan cukai, mengurangkan perbelanjaan Medicaid dan subsidi tenaga bersih."Semua langkah ini dijangka meningkatkan defisit fiskal dan paras hutang kerajaan AS. Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) mengunjurkan rang undang-undang tersebut akan menambah defisit sebanyak hampir US$3.3 trilion dari 2025 hingga 2034 manakala seramai 11.8 juta rakyat AS akan kehilangan insurans kesihatan menjelang 2034," katanya kepada Bernama.
Tarikh akhir untuk rang undang-undang tersebut ditetapkan pada 4 Julai 2025.
Mohd Afzanizam berkata matriks kredit kerajaan AS akan menjadi lemah, yang boleh menambah lagi tekanan ke atas nilai dolar AS.
"Ringgit meningkat 0.1 peratus kepada RM4.2327 pada Khamis lepas. Kami berpendapat ringgit akan terus mengukuh berbanding dolar AS dan dijangka dicatatkan pada RM4.22 hingga RM4.23," katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan negara-negara ASEAN.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9185/9308 daripada 2.9359/9399, naik berbanding pound kepada 5.7876/8116 daripada 5.8141/8217 dan tinggi berbanding euro kepada 4.9472/9677 daripada 4.9597/9661 pada Khamis lepas.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3067/3207 daripada 3.3192/3240 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.9179/9795 daripada 13.0254/0488 pada Khamis lepas.
Ia tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 260.4/261.7 daripada 260.9/261.4 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.46/7.50 daripada 7.47/7.49 sebelum ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami