KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini apabila nilai dolar AS menjadi lemah berikutan ulasan yang lebih memihak kepada pertumbuhan ekonomi oleh pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS berhubung kadar faedah, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7240/7290 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin pada 4.7295/7335.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beberapa pegawai tertinggi Rizab Persekutuan agak berwaspada mengenai keputusan kenaikan selanjutnya dalam kadar faedah AS.

Beliau berkata Naib Pengerusi Rizab Persekutuan Fed Philip Jefferson menyatakan Rizab Persekutuan berada dalam kedudukan untuk meneruskan tetapi lebih berhati-hati kerana kadar faedah jangka panjang telah meningkat secara berlebihan.

Dilaporkan bahawa beberapa pegawai Rizab Persekutuan dijangka mahu mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat seterusnya berikutan lonjakan dalam kadar faedah jangka panjang.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen kepada 3.1814/1852 daripada 3.1716/1745, merosot berbanding euro menjadi 4.9947/5.0000 daripada 4.9811/9853 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.7860/7921 daripada 5.7634/7682.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama Asean yang lain.

Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.0/301.4 daripada 301.3/301.7 sebelumnya dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.30/8.32.

Ia bergerak rendah berbanding baht Thai pada 12.7970/8157 daripada 12.7435/7588 pada Isnin dan lemah berbanding dolar Singapura pada 3.4623/4665 daripada 3.4542/4574 sebelumnya.

-- BERNAMA