BISNES
Ringgit dibuka tinggi menjelang pengumuman RMK13

Perdana Menteri berkata, RMK13 meningkatkan jangkaan terhadap perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi, yang boleh menyokong pertumbuhan ekonomi lebih kukuh. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Khamis, menjelang pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadualkan pada tengah hari ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2370/2570 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2455 pada Rabu.
RMK13 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.
Beliau berkata RMK13 telah meningkatkan jangkaan terhadap perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi, yang boleh menyokong pertumbuhan ekonomi lebih kukuh."Peruntukan RMK13 dijangka memacu pertumbuhan permintaan domestik, terutamanya dalam sektor berkaitan pembinaan," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus mencatatkan peningkatan kepada 99.82 mata selepas ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dana Fed pada 4.25 - 4.50 peratus.
Rizab Persekutuan (Fed) AS telah menurunkan penilaian terhadap ekonominya berdasarkan aktiviti ekonomi yang sederhana pada separuh pertama 2025.
"Ini sejajar dengan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.0 peratus pada suku kedua 2025 yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh penurunan import sebanyak 30 peratus.
"Ini telah membawa kepada sumbangan eksport bersih yang ketara kepada pertumbuhan keseluruhan. Keputusan untuk mengekalkan kadar stabil tidak dibuat secara sebulat suara apabila dua ahli Fed mengundi untuk pengurangan kadar dasar sebanyak suku mata," katanya.
Buat masa ini, Mohd Afzanizam berkata ini merupakan berita positif untuk dolar berikutan perbezaan kadar faedah yang ketara akan memberi kelebihan kepada dolar AS.
Sehubungan itu, katanya ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.24 hingga RM4.25 hari ini.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8394/8530 daripada 2.8646/8678 semalam, naik berbanding pound kepada 5.6161/6427 daripada 5.6745/6805 dan menokok berbanding euro kepada 4.8420/8649 daripada 4.8996/9048 sebelum ini.
Ringgit turut tinggi berbanding mata wang serantau tetapi mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.40 daripada 7.36/7.38.
Mata wang tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 258.2/259.6 daripada 258.5/258.9 semalam, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2695/2852 daripada 3.2919/2957 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9433/13.0136 daripada 13.0528/0719 sebelum ini.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini RMK13 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami