DUNIA
Lubang lapisan ozon semakin mengecil, dijangka pulih pada pertengahan abad ini - WMO

Guterres berkata, lapisan ozon yang menipis membolehkan lebih banyak UV berbahaya daripada matahari sampai ke bumi, yang boleh menyebabkan kerosakan kulit atau kanser kulit serta katarak. - Gambar fail/Reuters/Pierre Albouy
GENEVA: Lubang ozon bumi pada 2024 dilaporkan lebih kecil berbanding tahun 2020 hingga 2023, menurut laporan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) pada Selasa.
Agensi PBB itu dalam buletin ozon terbaharu sempena Hari Antarabangsa Pemeliharaan Lapisan Ozon berkata ukuran tahun lepas juga berada di bawah purata bagi tempoh 1990 hingga 2020.
WMO berkata keadaan itu sebahagiannya berpunca daripada fenomena atmosfera semula jadi yang menyebabkan turun naik tahunan tetapi faktor penentu ialah pengurangan bahan buatan manusia yang merosakkan ozon sejak beberapa dekad lampau.
Bahan kimia itu, seperti klorofluorokarbon (CFC), suatu ketika dahulu digunakan dalam peti sejuk, penyaman udara, buih pemadam api dan semburan rambut.Pada 1985, Konvensyen Vienna bagi Perlindungan Lapisan Ozon ditandatangani, diikuti kemudian oleh Protokol Montreal.
Sejak itu, lebih 99 peratus bahan perosak ozon yang dikawal selia seperti CFC telah dihentikan penggunaannya, menurut WMO.
"Hasilnya, lapisan ozon dijangka pulih ke tahap tahun 1980-an menjelang pertengahan abad ini," menurut buletin itu.
Analisis pada 2022 menganggarkan pemulihan penuh akan dicapai di Kutub Utara menjelang 2045 dan di Antartika pada 2066.
"Empat puluh tahun lepas, negara-negara bersatu melangkah ke hadapan untuk melindungi lapisan ozon - dibimbing sains, bersatu dalam tindakan," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.
"Konvensyen Vienna dan Protokol Montreal menjadi mercu tanda kejayaan multilateralisme. Hari ini, lapisan ozon sedang pulih. Pencapaian ini mengingatkan kita bahawa apabila negara-negara mendengar amaran sains, kemajuan boleh dicapai," katanya.
Lapisan ozon yang menipis membolehkan lebih banyak sinaran ultraungu (UV) berbahaya daripada matahari sampai ke bumi, yang boleh menyebabkan kerosakan kulit atau kanser kulit serta katarak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami