KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat sedikit minggu depan memandangkan petunjuk teknikal memaparkan Indeks Dolar AS sedang mengalami kedudukan terlebih beli.

Ketua Pakar Ekonomi di Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mungkin didagangkan di antara paras 4.17 dengan 4.18 minggu depan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Minggu depan, pelabur akan memantau rapat mesyuarat peringkat menteri Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya selain data penting dari AS seperti pembayaran gaji gaji bukan ladang bagi September," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd menambah, ringgit mungkin mengalami sedikit kelebihan dan peningkatan, didorong oleh sentimen positif yang wujud dalam situasi pembukaan semula ekonomi.

"Ini dijangka walaupun dolar AS mengukuh, kerana disokong oleh pelabur global yang enggan mengambil risiko berikutan peningkatan unjuran inflasi, kenyataan Rizab Persekutuan yang cenderung kepada kadar faedah tinggi serta ketidaktentuan fiskal AS," katanya.

Di peringkat tempatan, pada Rabu kerajaan mengumumkan bahawa lebih banyak negeri akan bergerak menuju fasa seterusnya mengikut Pelan Pemulihan Negara, dengan Lembah Klang memasuki fasa tiga mulai Jumaat, yang mendorong pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding dolar AS dipacu oleh sentimen yang bertambah baik selepas pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen pada Isnin.

Berasaskan mingguan, ringgit mengukuh kepada 4.1770/1810 berbanding dolar AS pada Jumaat dari 4.1865/1890 minggu lepas.

Unit tempatan juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain daripada Jumaat lepas.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0756/0788 daripada 3.0981/1004 pada Jumaat minggu lepas serta naik berbanding pound Britain kepada 5.6373/6427 daripada 5.7359/7393.

Mata wang tempatan juga stabil berbanding euro kepada 4.8361/8408 daripada 4.9120/9150 minggu lepas dan kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7580/7616 daripada 3.7925/7951.

-- BERNAMA