LONDON: Menteri Kabinet United Kingdom (UK), Steve Reed menegaskan negara itu tidak akan diheret ke kancah peperangan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Beliau yang juga Setiausaha Negara bagi Perumahan, Komuniti dan Kerajaan Tempatan UK, turut menyatakan bahawa tiada tanda-tanda Republik Islam itu akan menghalakan serangannya ke arah Eropah.
Advertisement
“UK tidak akan diheret terlibat dalam peperangan ini, namun begitu, kami akan mengambil langkah pertahanan secara kolektif yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat serta kepentingan negara terus terpelihara,” katanya ketika wawancara bersama BBC pada Ahad.
Beliau turut menegaskan tiada penilaian yang menyokong dakwaan Iran merancang menyerang Eropah dengan peluru berpandu balistik, malah tiada bukti negara itu memiliki keupayaan tersebut.
Tambahnya, seandainya keadaan itu berlaku, UK mempunyai keupayaan pertahanan mencukupi untuk melindungi negara mereka.
“Setakat pengetahuan saya, tiada sebarang penilaian yang menunjukkan mereka (Iran) cuba menyasarkan Eropah, apatah lagi mempunyai keupayaan untuk melakukannya,” katanya.
Terdahulu, Ketua Staf Tentera Israel, Eyal Zamir, mendakwa Iran memiliki misil yang mampu mencapai jarak sehingga 4,000 kilometer, sekali gus berpotensi menjangkau benua Eropah.
Tuduhan Zamir timbul susulan laporan yang mendakwa Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat–United Kingdom di Diego Garcia, yang terletak di Lautan Hindi.
Namun Iran menafikan dakwaan bahawa ia telah menyerang pulau yang terletak kira‑kira 4,000 kilometer dari Tehran dengan mengatakan ia tidak bertanggungjawab terhadap dakwaan serangan peluru berpandu tersebut. - Agensi