KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan dalam jajaran kecil menjelang pengumuman set data ekonomi Amerika Syarikat (AS) peringkat satu seterusnya pada Jumaat depan yang mana senarai gaji utama bukan ladang (NFP) AS akan dikeluarkan, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata data itu akan menjadi sangat penting untuk pasaran tukaran asing kerana ia boleh menentukan berapa lama Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan kadar faedah jika ia berada di bawah jangkaan.

"Faktor lain yang boleh mendorong sentimen ringgit adalah hasil mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang mana, jika ia mengekalkan status quo tanpa mengurangkan pengeluaran, itu mampu mencetuskan kejatuhan harga minyak dan menjejaskan ringgit," katanya kepada Bernama.

Namun begitu, beliau berkata jika sebarang lonjakan dalam data NFP AS, mata wang tempatan boleh terus meningkat tetapi semuanya bergantung kepada data ekonomi AS.

Kenanga Investment Bank Bhd, dalam satu nota penyelidikan berkata ringgit mungkin berayun antara untung dan rugi kerana ketiadaan pemangkin yang pro-ringgit.

"Bagaimanapun, peserta pasaran akan memantau dengan teliti data perbelanjaan penggunaan peribadi utama AS, yang mana bacaan yang lebih lemah daripada jangkaan mampu mendorong ringgit.

"Selain itu , pelabur akan meneliti data Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan dari Malaysia serta China bagi mendapatkan gambaran tentang keadaan ekonomi terkini negara itu," katanya.

Firma penyelidikan itu juga berkata sebarang petunjuk pemulihan akan memberi kesan positif kepada ringgit.

Untuk minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur selepas minit mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS menunjukkan bahawa bank pusat Amerika akan kekal berhati-hati dalam pendekatannya terhadap dasar monetari.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, nilai ringgit menyusut berbanding dolar US kepada 4.6830/6875 daripada 4.6785/6825 seminggu sebelumnya.

Unit tempatan itu juga agak lemah berbanding mata wang utama.

Ia jatuh berbanding euro kepada 5.1059/1108 daripada 5.0771/0814, turun berbanding yen Jepun kepada 3.1295/1327 daripada 3.1267/1296 dan merosot berbanding pound British kepada 5.8767/8805 daripada 5.8056/8105.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia tidak bermaya berbanding dolar Singapura kepada 3.4903/4940 daripada 3.4769/4801 yang dicatatkan semasa minggu sebelum ini dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.40/8.41.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 300.8/301.3 daripada 301.9/302.3 dan lebih tinggi berbanding baht Thailand pada 13.1949/2139 daripada 13.3298/3481.

-- BERNAMA