Ringgit ditutup kukuh susulan sentimen risiko bertambah baik, ketegangan AS dan China reda

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1860/1930 berbanding dolar AS daripada 4.1935/1985 ketika ditutup pada Khamis. - Foto hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama yang lain pada Jumaat disokong oleh sentimen risiko yang bertambah baik susulan ketegangan perdagangan di antara AS dengan China mereda.
Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1860/1930 berbanding dolar AS daripada 4.1935/1985 ketika ditutup pada Khamis.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketegangan perdagangan AS-China mereda secara tidak langsung meningkatkan sentimen terhadap mata wang serantau termasuk ringgit.
"Pada sesi petang, mata wang tempatan terus mengukuh berbanding dolar AS dengan pasangan dolar AS-ringgit mencecah RM4.1853," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit mencatatkan kenaikan berbanding yen kepada 2.7162/7210 daripada 2.7266/7300 ketika ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5025/5117 daripada 5.5304/5370 dan naik berbanding euro kepada 4.8453/8534 daripada 4.8716/8774 sebelumnya.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2185/2241 daripada 3.2285/2326 ketika ditutup pada Khamis, melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.9429/9702 daripada 12.9501/9723, lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 251.7/252.2 daripada 252.0/252.4 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.12/7.14 daripada 7.12/7.13 sebelumnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


