KUALA LUMPUR:Ringgit mengatasi penyusutan awalnya apabila ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini walaupun unit negara maju itu mencatat prestasi baik.

Dolar AS meneruskan peningkatan berbanding mata wang saingan utamanya ketika peniaga berharap usaha imunisasi COVID-19 berserta langkah rangsangan monetari akan melonjakkan semula ekonomi dalam separuh kedua tahun ini, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit mencecah paras 4.0300/0340 berbanding dolar AS daripada 4.0350/0410 yang dicatatkan pada Khamis.

Mengulas prestasi ringgit, Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata unit tempatan itu positif sewaktu pasaran ditutup, didorong oleh harga minyak yang stabil serta prospek harga komoditi yang memberangsangkan susulan pakej rangsangan AS yang menyokong aset berisiko.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS lebih kukuh hari ini dengan indeks mata wang itu (DXY) meningkat kepada 90.065.

"Kejadian rusuhan di Capitol Hill hanya menggalakkan lagi gesaan bagi penyingkiran Presiden Donald Trump. Pada masa sama, bakal Presiden Joe Biden dijangkakan lebih cenderung terhadap rangsangan fiskal dan memberi harapan serta mendorong sentimen positif bagi memacu ekonomi," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh peningkatan ketara COVID-19 yang akan terus mempengaruhi pasaran selain spekulasi mengenai kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) diperkenalkan semula bagi membendung pandemik selain memastikan kapasiti kesihatan negara tidak terjejas.

"Berikutan itu, kami menjangkakan ringgit terus diniagakan berhati-hati berbanding dolar AS dalam masa terdekat ini," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang utama lainnya.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0420/0459 daripada 3.0508/0563 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.9319/9384 daripada 4.9501/9583.

Selain itu, ringgit juga tinggi berbanding yen kepada 3.8813/8863 daripada 3.8955/9021 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4804/4875 daripada 5.4848/4941, sebelum ini.

-- BERNAMA