KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas dirangsang oleh sentimen positif mengenai potensi kenaikan kadar faedah oleh Bank of Japan dalam tempoh terdekat, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.6840/6880 berbanding dolar AS daripada 4.6845/6878 yang disaksikan semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Managenemt, Stephen Innes berkata ketika yen Jepun dijangka meningkat minggu depan dengan potensi kenaikan kadar Bank of Japan, yang boleh mengukuhkan pertukaran asing (FX) Asia dan ringgit, terdapat kebimbangan bahawa keuntungan mungkin terhad menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 19 dan 20 Mac.

"Para peniaga ini tidak sabar untuk menantikan ulasan Pengerusi Lembaga Rizab Persekutuan AS Jerome Powell mengenai kenaikan inflasi tahun ini, yang boleh mempengaruhi sentimen pasaran serta pergerakan mata wang," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1691/1721 daripada 3.1650/1672, susut berbanding pound British kepada 6.0021/0072 daripada 5.9840/9878 dan lemah berbanding euro kepada 5.1243/1287 daripada 5.1164/1197 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ia lebih rendah berbanding baht Thailand pada 13.1470/1641 daripada 13.1053/1200 dan tidak bermaya berbanding dolar Singapura kepada 3.5160/5193 daripada 3.5121/5149 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.45/ 8.46 berbanding 8.45/8.47 semalam dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 300.5/301.0 daripada 300.7/301.1 yang dicatatkan pada penutup Rabu.

-- BERNAMA