BISNES
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS, beberapa mata wang utama lain

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.2335/2405 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2465 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong oleh ketegangan geopolitik yang reda dan data ekonomi AS yang hambar sekali gus mengekalkan tekanan ke atas dolar.
Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.2335/2405 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2465 ketika ditutup semalam.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata gencatan senjata yang berterusan antara Israel dan Iran telah menjejaskan permintaan terhadap mata wang selamat, dolar AS.
"Selain itu, Indeks Keyakinan Pengguna AS susut 5.4 mata kepada 93.0 pada Jun, daripada 98.4 yang dicatatkan pada Mei," katanya kepada Bernama.Beliau berkata kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell dengan nada waspada baru-baru ini yang dianggap sebagai membuka peluang kepada kemungkinan pengurangan kadar faedah, telah mendorong hasil perbendaharaan AS menjadi rendah dan memberikan sedikit kelegaan bagi mata wang Asia.
"Walaupun dagangan masih suram namun ringgit merekodkan sedikit kenaikan ketika ditutup," katanya.
Pada penutupan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9070/9120 daripada 2.9256/9296 ketika ditutup semalam, dan lebih stabil berbanding pound British kepada 5.7631/7726 daripada 5.7707/7782.
Mata wang tempatan juga lebih tinggi berbanding euro kepada 4.9113/9194 daripada 4.9225/9289 semalam.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3061/3121 daripada 3.3130/3178 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.9584/9858 daripada 12.9793/13.0021.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 259.7/260.2 daripada 259.3/259.7, dan lemah berbanding peso Filipina kepada 7.46/7.48 daripada 7.41/7.44 pada Selasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami