Skip to main content

Malaysia

Kerajaan teliti penambahbaikan kuota subsidi bahan api nelayan - LKIM

81729133189_Nelayan.jpg
LKIM memaklumkan kerajaan memahami cabaran yang dihadapi nelayan, khususnya berkaitan peningkatan kos operasi serta perubahan teknologi vesel yang mempengaruhi penggunaan bahan api. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti cadangan penambahbaikan terhadap kuota subsidi bahan api nelayan susulan kebimbangan yang disuarakan komuniti nelayan berhubung had 50 liter sehari bagi vesel Zon A.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam kenyataan memaklumkan kerajaan memahami cabaran yang dihadapi nelayan, khususnya berkaitan peningkatan kos operasi serta perubahan teknologi vesel yang mempengaruhi penggunaan bahan api.

Advertisement

Menurut LKIM, skim subsidi diesel dan petrol nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 bertujuan membantu meringankan sebahagian kos operasi penangkapan ikan dan bukannya menanggung keseluruhan kos operasi.

“Pada masa sama, penetapan kuota turut mengambil kira aspek kawalan, ketelusan serta kedudukan kewangan kerajaan agar bantuan dapat disalurkan secara mampan dan berkesan.

“Justeru, sebarang cadangan penambahbaikan terhadap kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan nelayan serta keupayaan kewangan negara,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, LKIM menyeru nelayan dan rakyat untuk memahami cabaran dunia kini berdepan krisis tenaga global yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan kos operasi.

“Kerajaan bagaimanapun kekal komited untuk mencari keseimbangan terbaik antara membantu nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video