KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mata wang utama lain dan mata wang ASEAN pada Rabu susulan laporan berita menyatakan bahawa Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah mencadangkan pelepasan simpanan minyak yang boleh membantu menstabilkan harga minyak mentah global.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9175/9230 berbanding dolar AS daripada 3.9200/9260 ketika ditutup pada Selasa.
Advertisement
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata cadangan IEA itu dibuat dalam persekitaran kebimbangan bahawa penutupan Selat Hormuz akan menjejaskan bekalan minyak mentah.
“Situasi ini sebahagian besarnya bergantung kepada berapa lama konflik ketenteraan berterusan. Oleh itu, meredakan ketegangan adalah sesuatu diperlukan oleh dunia pada masa ini,” katanya kepada Bernama.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 4.24 peratus kepada AS$91.52 setong.
Pada penutupan, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4719/4755 daripada 2.4859/4899 ketika ditutup pada Selasa. menokok berbanding pound British kepada 5.2545/2619 daripada 5.2744/2824 dan melonjak berbanding euro kepada 4.5412/5475 daripada 4.5668/5738.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0754/0800 daripada 3.0806/0855, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3386/3637 daripada 12.3941/4205 dan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 232.0/232.4 daripada 232.4/232.9.
Dalam pada itu, ringgit turut menambah berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.64 daripada 6.65/6.67 ketika ditutup pada Selasa.
-- BERNAMA