KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan penurunan dalam Indeks Dolar US (DXY), kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7270/7320 berbanding dolar US daripada paras penutup 4.7385/7410 pada Jumaat.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY jatuh kepada 105.221 mata, menyebabkan dolar AS yang lebih lemah.

Beliau juga berkata pemain pasaran akan memberi tumpuan pada data inflasi AS dengan Indeks Harga Pengeluar dan laporan Indeks Harga Pengguna akan dikeluarkan pada Selasa dan Rabu.

"Ketika ini, ia masih bercampur-campur kerana data menunjukkan prospek yang lebih lemah dengan sentimen pengguna merosot pada bulan Mei.

"Tinjauan oleh Universiti of Michigan terhadap indeks sentimen pengguna turun untuk bulan kedua berturut-turut kepada 67.4 mata daripada 77.2 mata pada bulan sebelumnya.

"Bagaimanapun, jangkaan inflasi tahun depan telah meningkat kepada 3.5 peratus pada Mei daripada 3.2 peratus sebelum ini. Sehubungan itu, data inflasi di AS akan diberi perhatian utama minggu ini," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.0325/0359 daripada 3.0428/0446 pada Jumaat, menokok berbanding pound Britain kepada 5.9215/9278 daripada 5.9364/9395 semalam dan menambah berbanding Euro kepada 5.0967/1020 daripada 5.1072/1098 sebelumnya.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4919/4959 daripada 3.5017/5038 ketika ditutup pada Jumaat dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8388/8583 daripada 12.9009/9137 sebelumnya.

Unit tempatan juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 293.9/294.4 daripada 295.2/295.6 pada Jumaat dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.17/8.18 berbanding 8.25/8.26 sebelumnya.

-- BERNAMA