KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini disokong oleh harga minyak mentah yang kukuh dan data lemah ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.6480/6525 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6640/6690 pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks pengurus pembelian pembuatan (PMI) Institute for Supply Management (ISM) AS bagi bulan Jun yang lebih rendah daripada jangkaan pada 46.0 mata membantu meningkatkan ringgit hari ini.

Dalam pada itu, katanya, halangan seterusnya bagi ringgit adalah mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi kadar dasar semalaman (OPR) pada Khamis. Bank Pusat dijangka mengekalkan OPR pada 3.0 peratus.

"Dari sudut analisis teknikal, ringgit telah terlebih jual sejak sekian lama. Pada satu tahap, kami berpendapat ringgit akan stabil pada sekitar RM4.65 dengan paras sokongan segera RM4.62," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, harga minyak mentah penanda aras Brent meningkat 1.23 peratus kepada US$75.57 setong hari ini .

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 5.0654/0703 daripada paras penutup 5.0791/0845 pada Isnin, naik berbanding yen Jepun kepada 3.2184/2217 daripada 3.2252/2289 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.9016/9073 daripada 5.9088/9152 sebelumnya.

Ia juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4458/4494 daripada 3.4482/4521 pada Isnin dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.42 daripada 8.43/8.44.

Unit tempatan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 309.9/310.4 daripada 310.2/310.7 tetapi susut berbanding baht Thai kepada 13.3230/3420 daripada 13.2357/2563 sebelumnya.

-- BERNAMA