KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit hari ini berbanding dolar AS apabila sentimen pasaran optimis berhubung data inflasi Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.6500/6535 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6570/6610 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi dan ketua kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para pelabur menjangkakan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang rendah daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) yang akan diumumkan malam ini.

"Pengumuman malam ini agak penting. Kebimbangan utama adalah kadar inflasi AS, sama ada ia tersasar daripada jangkaan pasaran, naik lebih tinggi daripada jangkaan," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata IHP Malaysia melantun semula kepada 4.7 peratus pada Mei 2023 berbanding negatif 3.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya, membayangkan bahawa Malaysia mampu bertahan dengan prospek pertumbuhan perlahan ekonomi global tahun ini.

Pada penutup dagangan ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 5.1262/1300 daripada paras penutup 5.1264/1308 pada Selasa, naik berbanding pound Britain kepada 6.0120/0165 daripada 6.0136/0187 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.3300/3327 daripada 3.3162/3193.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara Asean lain.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.3173/3338 daripada paras penutup 13.3780/3956 pada Selasa tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4753/4782 daripada 3.4723/4755, jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 308.4/308.8 daripada 307.2/307.7 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.46/8.47 daripada 8.42/8.43.

-- BERNAMA