KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS pada hari ini disokong oleh data ekonomi China yang lebih baik daripada jangkaan yang menyokong sentimen serantau.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.6815/6845 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6825/6850 pada Khamis.

Jualan runcit China dilaporkan meningkat sebanyak 4.6 peratus padabulan lepas berbanding setahun lalu manakala pengeluaran perindustrian naik sebanyak 4.5 peratus.

Sentimen pasaran juga mendapat rangsangan daripada langkah China pada Khamis untuk mengurangkan nisbah keperluan rizabnya sebanyak 25 mata asas, menyuntik kira-kira US$69 bilion (RM323 bilion) untuk membantu pemulihan ekonominya.

Sementara itu, ketua ahli ekonomi dan ketua kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberi tahu Bernama penurunan ringgit berbanding dolar AS dijangka berterusan apabila Rizab Persekutuan AS diunjur mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang ketat.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1670/1693 daripada paras penutup 3.1769/1789 pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 5.8196/8233 daripada 5.8405/8436 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9919/9951 daripada 5.0234/0261 sebelumnya.

Ringgit juga meningkat berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4350/4374 daripada paras penutup 3.4402/4423 pada Khamis dan naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.25 daripada 8.25/8.26 sebelumnya.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 304.8/305.2 daripada 304.9/305.2 dan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.0681/0812 daripada 13.0792/0902 sebelumnya.

-- BERNAMA