KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentumnya apabila ditutup mengukuh berbanding mata wang utama dan kebanyakan unit serantau pada akhir urus niaga Khamis selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Pada 6 petang, ringgit turut meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada paras 3.9070/9115 daripada 3.9230/9275 pada akhir urus niaga semalam.
Terdahulu, BNM menerusi kenyataan pasca mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini memaklumkan pada paras semasa OPR, pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan BNM mengekalkan OPR itu sememangnya dijangkakan oleh kalangan ahli ekonomi.
Beliau berkata tumpuan sebaliknya beralih kepada kenyataan BNM yang dilihat memaparkan pendirian yang cenderung kepada pendekatan lebih berdiplomasi dari segi penilaian ekonomi.
“Bank pusat itu lebih berwaspada mengenai impak perang di Iran terhadap harga minyak mentah global dan bagaimana ini mempengaruhi trajektori pertumbuhan global di masa akan datang.
“Dari satu sudut, BNM mengambil pendekatan pragmatik dalam menumpukan aspek pertumbuhan memandangkan risiko peningkatan inflasi berpunca daripada pelarasan kos yang tinggi berbanding permintaan kukuh.
“Pendekatan pragmatik sedemikian berkemungkinan turut menyumbang kepada pengukuhan ringgit,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata potensi kemungkinan perang AS-Iran yang mereda juga berperanan penting dalam memacu selera risiko para peniaga.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit terus memaparkan ketahanannya di tengah-tengah sentimen pasaran kewangan menjangkakan krisis Asia Barat tidak berlanjutan, sekali gus menyuntik keyakinan ketara terhadap mata wang serantau serta aset pasaran pesat membangun secara menyeluruh.
Pada masa sama, katanya, prospek pemeteraian perjanjian antara Washington dan Tehran untuk menamatkan krisis itu turut mengurangkan beberapa risiko geopolitik utama yang menular di pasaran global sewaktu kemuncak konflik itu.
“Kejatuhan harga minyak mentah secara mendadak juga telah menjadi faktor penting pendorong (prestasi) ringgit dan sebahagian besar ekonomi Asia yang banyak bergantung kepada import.
“Keadaan persekitaran yang bertambah baik turut membantu dari segi sokongan ke atas minat risiko secara meluas dengan kalanga pelabur kembali menumpukan aset Asia ketika kebimbangan mengenai berlakunya kemelesetan global semakin suram,” katanya.
Tambahan pula, Innes berkata, pasaran melihat konflik Asia Barat lebih sebagai gangguan sementara berbanding permulaan krisis tenaga yang berpanjangan.
Peralihan sentimen sedemikian turut memberi sokongan yang merangsang minat terhadap mata wang serantau, termasuk ringgit, katanya.
Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit turut diniagakan meningkat berbanding mata wang utama dunia.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.4982/5013 daripada 2.5159/5191 semalam, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3202/3263 daripada 5.3443/3504 dan mengukuh sedikit berbanding euro kepada 4.5978/6031 daripada 4.6189/6242 sebelumnya.
Ringit juga ditutup kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang serantau.
Berbanding dolar Singapura, ringgit naik kepada 3.0861/0901 daripada 3.0946/0986 semalam, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1486/1687 daripada 12.1866/2074 sebelumnya dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 225.4/225.7 daripada 225.6/225.9.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.48 daripada 6.39/6.41 pada akhir sesi urus niaga semalam.
-- BERNAMA