Ringgit meningkat semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas mencatatkan penurunan dalam dagangan selama empat hari berturut-turut.

Peniaga berkata, prestasi ringgit hari ini juga seiring dengan kebanyakan mata wang Asia, memandangkan pelabur beralih kembali kepada pasaran pesat membangun disebabkan kebimbangan baharu terhadap unjuran dolar AS.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1900/1950 berbanding dolar AS daripada 4.1945/1975 ketika ditutup pada Rabu.

Peniaga berkata, dolar AS merekodkan prestasi rendah selepas aliran positif baru-baru ini apabila data inflasi AS yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan pertumbuhan harga menyederhana.

Pada masa sama beberapa ulasan berhati-hati mengenai unjuran ekonomi yang dijelaskan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell, telah menjejaskan dolar, katanya.

Mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0406/0499 daripada 3.0349/0377 pada Rabu, dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6946/6996 daripada 3.6826/6859.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3569/3650 daripada 5.4386/4433 pada Rabu namun rendah berbanding euro kepada 4.7284/7345 daripada 4.7264/7314 sebelum ini. -- Bernama