KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan dagangan minggu ini lebih tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain.

Pasaran kewangan kini memantau dengan rapat dua acara penting yang bakal berlaku minggu ini iaitu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat pada 31 Okt hingga 1 Nov dan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2 Nov.

Pada 9.05 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7575/7625 berbanding dolar AS daripada 4.7750/7800 pada penutup Jumaat.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berdasarkan konsensus umum dalam kalangan pakar, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dijangka mengekalkan kadar dananya pada 5.50 peratus.

"Jangkaan ini sebahagiannya dipengaruhi oleh data perbelanjaan penggunaan peribadi teras (PCE) terkini, yang menunjukkan tekanan inflasi turun kepada 3.7 peratus pada September.

"Begitu juga, konsensus pasaran mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar faedahnya stabil pada 3.00 peratus," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1759/1795 daripada 3.1827/1862 pada penutupan dagangan Jumaat lepas, meningkat berbanding euro kepada 5.0253/0306 daripada 5.0438/0491 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7618/7679 daripada 5.7945/8005 sebelumnya.

Mata wang tempatan juga bergerak kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean yang lain.

Nilai ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4729/4768 daripada 3.4867/4906, menambah nilai berbanding rupiah Indonesia pada 298.4/298.9 daripada 299.5/300.0 dan tinggi berbanding peso Filipina pada 8.36/8.38 daripada 8.38/8.39 pada penutupan minggu lepas.

Sementara itu, ia susut berbanding baht Thai kepada 13.1849/2031 daripada 13.1808/2008 pada Jumaat.

-- BERNAMA