KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berikutan pembetulan dalam Indeks Dolar AS (DXY) dan mata wang tempatan berada dalam kedudukan terlebih jual, kata penganalisis.

Ini turut dipengaruhi oleh pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023 hari ini.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.7775/7810 berbanding dolar AS daripada 4.7800/7850 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengumuman mengenai KDNK hari ini akan dipantau terutamanya berhubung penilaian terkini oleh bank pusat mengenai prospek ekonomi pada tahun ini dan bagaimana ini boleh diterjemahkan kepada keputusan dasar monetari.

"DXY berada pada pola menaik berikutan Rizab Persekutuan dijangka mengekalkan kadar faedah untuk suatu tempoh sebelum mereka mula menurunkannya dan kemerosotan jualan runcit memberi peluang kepada peniaga untuk menyimpan keuntungan," katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dijangka naik hari ini berikutan sentimen risiko global yang meningkat semula, menyaksikan harga minyak tinggi dan satu lagi penurunan untuk hasil Amerika Syarikat (AS).

"Bagaimanapun, saya berpendapat kenaikan mungkin terhad menjelang Indeks Harga Pengeluar AS dikeluarkan berikutan peniaga dijangka berhati-hati mengenai satu lagi bacaan inflasi susulan data Indeks Harga Pengguna dikeluarkan minggu ini," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1818/1844 daripada 3.1860/1896 pada Khamis, bagaimanapun susut berbanding pound kepada 6.0125/0169 daripada 6.0008/0071 dan merosot berbanding euro kepada 5.1430/1467 daripada 5.1304/1357 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia rendah berbanding baht Thailand kepada 13.2180/2335 daripada 13.2084/2292 semalam dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.54/8.56 daripada 8.53/8.54 sebelum ini.

Mata wang tempatan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.5481/5512 daripada 3.5481/5521 dan mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 305.2/305.4 daripada 305.7/306.0 sebelum ini.

-- BERNAMA