KUALA LUMPUR: Nilai ringgit diniagakan hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada sesi pembukaan pagi ini berikutan kekurangan minat belian baharu.

Pada 9.05 pagi, ringgit berada pada paras 4.6785/6855 berbanding dolar AS daripada 4.6775/6830 pada penutup Khamis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diunjur kekal stabil berbanding dolar AS pada sekitar RM4.68 tanpa kehadiran sebarang petunjuk daripada AS berikutan cuti hari Kesyukuran.

Beliau berkata tumpuan hari ini adalah pada indeks harga pengguna (IHP) Malaysia, yang dijangka mencapai 1.9 peratus pada Oktober berdasarkan konsensus.

"Jika ia menjadi kenyataan, ini akan menjadi tahap yang tidak berubah, menunjukkan bahawa kadar inflasi telah stabil.

"Berdasarkan ini, kadar dasar semalaman (OPR) mungkin kekal stabil dalam tempoh terdekat memandangkan kadar faedah sebenar telahpun positif, menunjukkan dasar monetari tidak terlalu akomodatif," katanya kepada Bernama.

Pada pembukaan dagangan, ringgit lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan mengukuh berbanding euro pada 5.1038/1114 daripada 5.1092/1152 pada Khamis, menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1294/1343 daripada 3.1342/1381 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8678/8766 daripada 5.8740/8809.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.4917/4972 daripada 3.4922/4969 dan meningkat berbanding baht Thai pada 13.2475/2726 daripada 13.2601/2813 semalam.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding peso Filipina pada 8.45/8.47 daripada 8.44/8.46 sebelumnya dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 300.7/301.4 daripada 300.6/301.2.

-- BERNAMA