BISNES
Risiko kerajaan AS ditutup dorong ringgit ditutup tinggi

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2050/2090 berbanding dolar AS daripada 4.2150/2200 ketika ditutup pada Isnin. - Foto hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi pada Selasa berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup, menurut seorang penganalisis.
"Laporan menunjukkan kerajaan persekutuan AS berisiko menghadapi penutupan sekiranya Kongres gagal meluluskan belanjawan sebelum tahun fiskal baharu bermula pada 1 Oktober.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2050/2090 berbanding dolar AS daripada 4.2150/2200 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan Naib Presiden AS JD Vance yang memberi isyarat kemungkinan kerajaan ditutup, telah menjejaskan dolar AS."Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.21 peratus kepada 97.699 mata memandangkan perkembangan ini dilihat meningkatkan kemungkinan berlakunya pemotongan kadar faedah AS," katanya kepada Bernama hari ini.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh kepada 5.6532/6586 berbanding pound Britain daripada 5.6612/6679, menyusut kepada 2.8420/8447 berbanding yen Jepun daripada 2.8365/8400 dan sedikit rendah kepada 4.9405/9452 berbanding euro daripada 4.9387/9446 ketika ditutup Isnin.
Di peringkat mata wang negara-negara ASEAN, ringgit naik kepada 3.2604/2638 berbanding dolar Singapura daripada 3.2664/2706, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 252.3/252.6 daripada 252.6/253.1 dan sedikit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.22/7.24 daripada 7.25/7.26 pada penutupan semalam.
Mata wang tempatan itu turut bertambah kepada 12.9744/9927 berbanding baht Thailand daripada 13.0649/0857 sebelum ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami