KUALA LUMPUR: Aset rizab antarabangsa Malaysia berjumlah US$132.56 bilion (US$1=RM4.08), manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$1.54 bilion setakat akhir Jun 2026, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata pecahan terperinci rizab antarabangsa menyediakan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain, selaras dengan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata pecahan terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF itu menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna setakat akhir Jun 2026.
Bagi tempoh 12 bulan akan datang, BNM berkata aliran keluar jangka pendek mata wang asing yang telah ditetapkan melibatkan pinjaman, sekuriti dan deposit dalam mata wang asing berjumlah US$8.65 bilion.
Ini termasuk bayaran balik berjadual bagi pinjaman luar kerajaan serta kematangan Bil Antara Bank BNM (BNIB) dalam mata wang asing, katanya.
"Jumlah kedudukan hadapan bersih adalah sebanyak US$27.18 bilion setakat akhir Jun 2026, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," kata bank pusat itu.
Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data berkenaan tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
Menurut BNM, unjuran aliran masuk mata wang asing itu berjumlah US$2.98 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Bank pusat itu berkata satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah US$846.4 juta.
"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.
"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," katanya.
-- BERNAMA