BAGI sektor pendidikan, Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMK-12) perlu memberikan fokus kepada pemulihan sistem pendidikan pasca pandemik COVID-19, pemerkayaan pendigitalan pendidikan, pengukuhan latihan keguruan yang lebih terkini dan penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih berkualiti sesuai dengan konsep pendidikan futuristik.

Pandemik COVID-19 telah hampir melumpuhkan sistem pendidikan negara apabila sistem persekolahan negara terpaksa ditutup lebih 250 hari sepanjang 10 bulan yang lalu. Kesan langsung kepada penutupan sekolah ialah wujudnya kesenjangan pembelajaran (learning gap) yang besar di kalangan kanak-kanak di negara ini. Sebahagian besar kanak-kanak miskin dan yang tinggal di kawasan pedalaman mengalami keciciran pembelajaran yang serius khususnya penguasaan asas membaca menulis dan mengira. Data KPM menunjukkan hampir 40 peratus murid tiada peranti pembelajaran sepanjang PdPR dilaksanakan. Akibatnya murid-murid ini telah mengalami kehilangan waktu pembelajaran yang tinggi.

Sehubungan dengan itu di dalam RMK-12, penekanan utama ialah peruntukan untuk memulihkan kembali kesenjangan pembelajaran untuk mengelakkan kadar keciciran yang lebih besar di kalangan kanak-kanak khususnya kepada kumpulan B40 dan juga kanak-kanak di kawasan pedalaman. Kemudahan pembelajaran untuk kumpulan B40 dan kawasan pendalaman harus diutamakan di dalam RMK-12. Langkah ini diharap akan merapatkan jurang pencapaian pendidikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengalaman pendidikan era pandemik juga mendedahkan kita kepada ketidaksediaan  pembelajaran digital di dalam sistem pendidikan negara. Akses internet yang lemah, ketidakmampuan pemilihan peranti dan kemahiran penggunaan teknologi digital pembelajaran di kalangan guru-guru begitu menonjol sekali sehingga menyebabkan proses pembelajaran dalam talian tidak dapat dilaksanakan secara berkesan dan konsisten.

Peruntukan yang signifikan juga harus diberikan kepada pengukuhan pendidikan berteraskan digitalisasi. RMK-12 harus memberikan fokus kepada penyediaan kemudahan Internet berkos rendah pada rakyat, insentif dan harga peranti dan peralatan komputer yang lebih murah dan peruntukan untuk menggandakan skim latihan kemahiran dan program celik teknologi maklumat kepada masyarakat.

Latihan keguruan dan kepimpinan pendidikan adalah dua aspek yang kritikal di dalam memajukan sistem pendidikan negara. Penguasaan pedagogi futuristik yang mementingkan pembelajaran berasaskan personalization, bakat dan kemahiran digital perlu diberikan latihan kepada para guru-guru. Oleh itu kemudahan pembelajaran keguruan di IPG dan fakulti pendidikan universiti awam mestilah diperkasakan di dalam RMK-12. Sumber manusia pendidikan memerlukan kemahiran-kemahiran baharu sesuai dengan keperluan pembelajaran murid-murid di sekolah.

Menoleh ke belakang, RMK-12 masih perlu meneruskan usaha sebelum ini untuk memastikan semua sekolah daif di seluruh negara dinaiktaraf. Kemudahan persekolahan yang kondusif dan selesa adalah penting dalam memastikan sesi pembelajaran berjalan dengan baik dan lancar. Begitu juga dengan penerusan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang penting kepada perkembangan kanak-kanak.



*Dr Anuar Ahmad adalah dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

**
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.