KUALA LUMPUR: Hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak RM904.83 bilion untuk baki Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu dari 2023 hingga 2025, menyebabkan defisit berjumlah RM257.93 bilion, kata Kementerian Ekonomi.

Bagi keseluruhan 2021-2025, hasil telah disemak semula dengan unjuran lebih tinggi kepada RM1.43 trilion berbanding RM1.22 trilion sebelum ini, kata kementerian itu dalam Laporan Kajian Separuh Penggal RMKe-12.

Berdasarkan data daripada Kementerian Kewangan, ia berkata sepanjang dua tahun pertama RMKe-12 iaitu dari 2021-2022, hasil Kerajaan Persekutuan ialah RM528.10 bilion.

Perbelanjaan pembangunan kasar adalah sebanyak RM264.37 bilion untuk 2023-2025 dan bagi 2021-2025 ialah pada RM400.20 bilion, tidak berubah daripada sasaran asal.



Akta baharu mengenai hutang dan perolehan



Di dalam laporan itu, kementerian berkata bagi meningkatkan kemampanan fiskal, penekanan akan diberi untuk memperkukuh tadbir urus fiskal, memperluas asas hasil, menyasarkan semula subsidi serta menambah baik pengurusan belanjawan, hutang dan liabiliti ke arah mencapai sasaran defisit fiskal di antara 3.5 peratus hingga 3.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

Pengurusan fiskal akan ditambah baik dengan menggubal undang-undang mengenai tanggungjawab fiskal serta merangka akta baharu mengenai hutang dan perolehan, katanya.

Di samping itu, pengurusan hasil akan ditambah baik dengan memperluas asas cukai serta menerima guna teknologi dan pendigitalan untuk memastikan kutipan yang lebih baik.

-- BERNAMA