Syria tegas komitmen perangi Daesh susulan serangan AS

Tentera Amerika Syarikat baru-baru ini melaksanakan serangan balas berskala besar menentang pihak yang dilabelkan pengganas di Syria. - Foto AP
ISTANBUL: Syria menegaskan komitmennya untuk memerangi kumpulan pengganas Daesh dan menghalang wilayahnya daripada dijadikan kubu kuat pelampau, menurut Kementerian Luar pada awal Sabtu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan serangan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan kedudukan organisasi pengganas terbabit di negara berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman X, kementerian itu memaklumkan Syria akan terus mempergiat operasi ketenteraan terhadap Daesh di semua kawasan yang diancam kumpulan itu, lapor Anadolu Ajansi.
Kenyataan itu turut menggesa Amerika Syarikat dan ahli gabungan antarabangsa lain pimpinan AS supaya menyokong usaha memerangi keganasan oleh Syria.
Menurut kementerian, kerjasama sedemikian akan membantu melindungi orang awam serta memulihkan keselamatan dan kestabilan di negara itu serta rantau yang lebih luas.
Lokasi tepat, jumlah mangsa atau butiran operasi serangan Amerika itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas AS melancarkan operasi ketenteraan di Syria sebagai tindak balas terhadap serangan maut ke atas tentera Amerika pada 13 Dis berhampiran Bandar Palmyra di tengah Syria.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


