KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad untuk merapatkan nisbah jurang pendapatan antara penduduk desa dengan bandar, daripada 0.57 pada 2022 kepada 0.67 pada 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan akan memperluaskan penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan di kawasan desa bagi memanfaatkan ekonomi desa dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan, untuk memastikan kesejahteraan penduduk.

Anwar berkata ia adalah antara empat perkara pokok yang akan dilaksanakan dalam usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif, selaras dengan cita-cita kerangka Ekonomi MADANI.

Perdana Menteri berkata perkara pokok lain yang akan dilaksanakan bagi mencapai matlamat berkenaan ialah mempergiat dan meningkatkan kapasiti perniagaan usahawan desa melalui pelbagai program dan inisiatif selaras dengan keperluan industri setempat.

"Produk kotej desa akan terus dipromosikan melalui Pusat Komuniti Desa (PKD), manakala penggunaan platform e-dagang akan ditingkatkan untuk pasaran yang lebih baik," katanya ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2025 bagi menyediakan infrastruktur asas, kemudahan keselamatan dan pelaksanaan kegiatan ekonomi di kawasan sempadan di Perak, Perlis, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Katanya, peruntukan itu diberikan dalam usaha usaha memperkasa keselamatan dan memperoleh manfaat daripada potensi pembangunan ekonomi rentas sempadan di tujuh negeri berkenaan.

Selain itu, beliau berkata potensi ekonomi wilayah turut akan dipertingkatkan berdasarkan kekuatan setempat.

Anwar berkata dasar perindustrian mengikut geografi akan diberikan penekanan di samping ekosistem perniagaan yang lebih baik disediakan bagi mempertingkatkan pembangunan di kawasan pertumbuhan yang dikenal pasti.

"Pembangunan tersebut termasuk Projek Ladang Air Manis di Kulai, Johor dan Projek Taman Biopolimer Kertih, Terengganu," katanya.

-- BERNAMA