PARIS: Pemain tenis Jakub Mensik rebah di gelanggang akibat kekejangan otot dalam satu situasi yang mencemaskan selepas memenangi perlawanan pusingan kedua Terbuka Perancis, lapor PA Media/dpa.
Gelombang haba luar biasa di Paris menyukarkan keadaan bagi para pemain sepanjang empat hari pertama di Roland Garros. Mensik, yang merupakan pilihan ke-26 kejohanan, berdepan detik cemas selepas bertungkus-lumus mencatatkan kemenangan 6-3, 2-6, 6-4, 1-6, 7-6 (13-11) ke atas Mariano Navone dalam aksi sengit yang berlarutan selama empat jam 41 minit.
Mensik jelas mengalami kekejangan pada kakinya sebelum melakukan pukulan servis terakhir, namun beliau berjaya melakukan pukulan depan penentu kemenangan sebelum rebah di atas gelanggang tanah liat itu.
Pemain Republik Czech berusia 20 tahun itu, yang merupakan pemain terakhir menewaskan pemain nombor satu dunia Jannik Sinner di Doha pada Februari lepas, kemudian terbaring di gelanggang selama beberapa minit dan tidak dapat bangun.
Beliau dirawat oleh kakitangan perubatan yang meletakkan tuala sejuk di sekeliling leher dan dadanya serta pek ais pada dahi, sebelum akhirnya membantu beliau berdiri.
Mensik berjalan keluar dari gelanggang namun baru sahaja melangkah beberapa tapak menuju ke bilik persalinan, beliau sekali lagi kelihatan hampir rebah lalu ditempatkan di atas kerusi roda.
Suhu dilaporkan mencecah pertengahan 30-an darjah Celsius sepanjang minggu ini, dan gelanggang luar di Roland Garros khususnya, hampir tidak mempunyai kawasan berbumbung atau teduh.
Bekas naib juara, Casper Ruud turut mengakui beliau hampir mengalami strok haba ketika perlawanan pusingan pertama menentang Roman Safiullin pada Isnin.
Pemain Norway itu akhirnya berjaya pulih dan melangkah ke pusingan kedua, namun berkata selepas perlawanan: "Ada ketikanya saya berasa sangat pening dan tersangat letih, malah berjalan seperti 'zombi'."
Suhu di Paris dijangka tidak akan menurun sehingga Ahad ini, dengan ramalan hujan pada minggu kedua kejohanan.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa