KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Perpaduan Negara akan diaktifkan semula dan diperkukuh untuk menangani isu perpaduan, memantau pelaksanaan dasar serta mencadangkan langkah penyelesaian yang berkesan.

Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, Pelan Tindakan Perpaduan Negara juga akan dijajar dengan nilai teras Malaysia MADANI bagi membangunkan masyarakat yang inklusif, cekap dan maju.

"Usaha meningkatkan perpaduan amat penting ke arah mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif.

"Dalam hubungan ini, langkah akan terus diambil untuk menerima kepelbagaian, memupuk budaya masyarakat MADANI dan memperkukuh tadbir urus bagi menggalakkan perpaduan yang utuh," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut langkah ini akan menyumbang ke arah membina jambatan kepercayaan untuk membentuk perpaduan merentas masyarakat pelbagai budaya, etnik dan agama yang mendukung kemampanan dengan keprihatinan serta belas ihsan yang diperkukuh dengan nilai hormat.

"Lebih banyak program interaksi sosial dan libat urus akan dianjurkan terutama pada peringkat komuniti manakala perkhidmatan mediator komuniti akan terus digalakkan di seluruh negara untuk menguruskan konflik pada peringkat komuniti," menurut laporan itu.

Laporan itu juga memaklumkan bahawa papan pemuka analitik akan dibangunkan untuk memantau situasi perpaduan pada peringkat komuniti dan maklumat ini adalah penting bagi menambah baik perancangan serta pelaksanaan program khusus berdasarkan keperluan.

Menurut laporan itu, kerjasama berasaskan pendekatan keseluruhan negara dalam kalangan kerajaan, sektor swasta, Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dan pertubuhan berasaskan komuniti akan dipergiat bagi meningkatkan kefahaman serta pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara.

Laporan itu turut menyebut antara strategi lain dalam usaha memperkukuh perpaduan untuk kemakmuran negara ialah pemupukan budaya masyarakat MADANI dengan membangunkan masyarakat yang progresif.

Dalam hubungan ini, laporan itu menggariskan amalan prinsip Maqasid Syariah yang penting untuk pembangunan insan MADANI dan masyarakat progresif akan dipupuk melalui penglibatan pelbagai pihak.

"Selain itu, Rukun Tetangga akan diperkasa sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program komuniti, kesukarelawanan serta kenegaraan pada peringkat akar umbi," katanya.

Pada masa sama, pemupukan budaya masyarakat MADANI juga akan dijayakan menerusi usaha pembentukan jati diri berteraskan Rukun Negara yang direncana melalui pelbagai program di bawah flagship Kembara Perpaduan.

Kelab Rukun Negara, Sekretariat Rukun Negara serta program Sekolah Rukun Negara akan terus dimanfaatkan bagi meningkatkan penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar dan belia.

-- BERNAMA