BISNES
RMK13 pencapaian penting rangka pembangunan jangka sederhana - Lee

Lee berkata rancangan itu memberikan peluang untuk menumpukan semula keutamaan, membina daya tahan dan mengemudi negara ke arah pertumbuhan mampan dan menyeluruh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen Khamis lepas, merupakan satu pencapaian penting dalam merangka hala tuju pembangunan jangka sederhana, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Ringkasan AI
- RMK13 dianggap pencapaian penting dalam merangka hala tuju pembangunan jangka sederhana negara, dengan fokus kepada isu global seperti ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim, transformasi teknologi dan demografi.
- Tan Sri Lee Lam Thye memuji hasrat RMK13 untuk menangani cabaran utama seperti ketidaksamaan pendapatan, ekonomi hijau, transformasi digital dan reformasi institusi, namun menekankan keperluan pelaksanaan berkesan, telus dan berdisiplin.
- Beliau mencadangkan penubuhan mekanisme pemantauan yang mantap, laporan awam berkala, koordinasi antara agensi, penglibatan masyarakat dan sektor swasta, serta pembiayaan mencukupi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan RMK13 secara inklusif dan mampan.
Lee berkata kejayaan rancangan ini bagaimanapun, akan bergantung bukan sahaja pada cita-cita, tetapi juga pada disiplin, ketelusan, dan pelaksanaan berkesan di semua peringkat kerajaan dan masyarakat.
Bagi memastikan RMK13 dilaksanakan dengan berkesan, beliau berkata beberapa aspek perlu menerima tindakan susulan berfokus, termasuk penubuhan mekanisme pemantauan yang mantap dan telus untuk menilai kemajuan terhadap sasaran utama.
"Laporan awam secara berkala dan audit prestasi juga akan membantu memastikan akauntabiliti dan pelarasan semula dilakukan apabila perlu," katanya.
Lee juga menekankan kepentingan koordinasi yang kukuh merentasi agensi Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan, dengan kementerian dan jabatan perlu bekerjasama secara sinergi untuk mengelakkan kelewatan atau ketidakcekapan.
Beliau berkata penglibatan dengan masyarakat sivil, sektor swasta dan komuniti setempat perlu diteruskan melangkaui peringkat perancangan, dan pelaksanaan haruslah inklusif dan sejajar dengan realiti semasa.
"Kejayaan rancangan ini juga bergantung pada pembiayaan mencukupi dan tanggungjawab fiskal. Perbelanjaan pembangunan mesti diutamakan berdasarkan impak, kesaksamaan dan kemampanan, dengan tumpuan kepada pengurangan ketirisan dan pembaziran," katanya.
Lee turut menekankan keperluan pembangunan kapasiti dalam perkhidmatan awam dan reformasi institusi, dan kerajaan perlu bersedia untuk menyesuaikan rancangan itu mengikut perubahan semasa, termasuk kejutan global atau perubahan di dalam negara.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami