BISNES
RMK13: Pendidikan awal wajib umur lima tahun, sekolah komuniti diperluas

Reformasi pendidikan merupakan tulang belakang kepada pelbagai perubahan struktur yang disasarkan di bawah RMK13. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pendidikan awal kanak-kanak akan diwajibkan pada umur lima tahun serta sekolah berasaskan komuniti untuk masyarakat Orang Asli, penduduk rumah panjang dan kawasan pedalaman akan diperluas antara reformasi pendidikan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ringkasan AI
- Pendidikan awal diwajibkan & sekolah komuniti diperluas: Pendidikan prasekolah diwajibkan pada umur lima tahun, dengan penekanan kepada sekolah berasaskan komuniti untuk Orang Asli, rumah panjang dan kawasan pedalaman.
- Lapan strategi reformasi pendidikan RMK13: Fokus kepada tadbir urus, kompetensi guru, penilaian pembelajaran, pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan ekosistem TVET.
- Penambahbaikan fasiliti & pembiayaan pendidikan: Pembinaan sekolah vertikal, skim praktikal wajib berbayar, kajian semula pinjaman PTPTN dan platform nasional untuk sumbangan pendidikan diperkenalkan.
Lapan strategi itu ialah memperkukuh tadbir urus, merasionalisasikan fungsi dan perananinstitusi pendidikan, mempertingkatkan keberhasilan pendidikan, menambah baik penilaian dan pentaksiran pembelajaran, memantapkan kompetensi dan kecekapan warga pendidik, menambah baik pelaburan pendidikan, memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Pendidikan rendah akan dimulakan pada umur enam tahun selaras dengan amalan antarabangsa.Bahasa Inggeris akan dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan bagipelajar tahap satu.
"Pembelajaran bahasa tambahan akan diperluas di sekolah rendah. Tadbir urus pendidikan prasekolah hingga menengah serta pendidikan prauniversiti dan pendidikan tinggi akan diselaras semula bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan pendidikan," menurut dokumen itu.
Dokumen itu menyatakan akta baharu akan digubal bagi mengawal selia pendidikan awal kanak-kanak manakala langkah akan diambil untuk memperkukuh mekanisme kawal selia pendidikan alternatif.
"Majlis pendidikan negara yang bertanggungjawab menyelaras, memantau dan mengenal pasti tindakan intervensi akan diwujudkan bagi memastikan sistem pendidikan negara adalah progresif dan bertaraf dunia.
"Projek rintis pemberian autonomi kepada universiti juga akan dilaksana untuk meningkatkan kemampanan kewangan dan daya saing institusi pendidikan tinggi. (Selain itu) ketersediaan pendidikan untuk murid berkeperluan pendidikan khas akan diperluas di seluruh negara daripada prasekolah hingga sekolah menengah," menurut dokumen itu.
Dokumen itu turut menyatakan kajian semula akan dilaksanakan untuk mengenal pasti waktupersekolahan optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus serta menambah baik model pendidikan bagipelajar pintar cerdas dan berbakat dalam meningkatkan keberhasilan pendidikan.
Selain itu, skim praktikal wajib berbayar juga akan diperkenalkan bagi meningkatkan keberhasilan graduan dan usaha ini adalah untuk menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana mengambil pelajar universiti bagi menjalani latihan industri.
Dokumen itu menyatakan penilaian dan pentaksiran akan ditambah baik untuk meningkatkan tahap kualiti pendidikan negara agar setanding dengan pencapaian antarabangsa dan satu kajian akan dilaksanakan untuk menilai keberkesanan sistem penilaian dan pentaksiran pada peringkat persekolahan.
"Selain itu, pengukuran baharu tahap keberhasilan graduan akan diperkenalkan bertujuanuntuk menangani ketidakpadanan kemahiran dan kompetensi, seterusnya menyelesaikan isu graduanbekerja di bawah kelayakan.
"Pelaburan dalam pendidikan akan terus ditambah baik. Penyediaan fasiliti pendidikan, termasuk prasekolah akan diperkukuh mengikut keperluan pembelajaran dan pembinaan sekolah akan dijadikan satu daripada syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar," menurut dokumen itu.
Sementara itu, pembinaan sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatanpelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian selain skim pinjaman Perbadanan TabungPendidikan Tinggi Nasional akan dikaji semula supaya lebih bersasar, berfokus dan mampan.
"Satu platform tunggal pada peringkat nasional bagi penajaan dan sumbangan pendidikan juga akan diwujudkan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan pembiayaan pendidikan. Platform ini akan memudah cara sumbangan oleh ibu bapa, alumni, masyarakat, pihak swasta dan industri," menurut dokumen itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami