Skip to main content

Dunia

Hak Iran untuk pengayaan uranium tidak boleh dirunding di bawah NPT

Iran pursues diplomatic path, but remains vigilant: spokesman
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata hak negara itu untuk menjalankan pengayaan uranium di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) tidak boleh dirunding. - Gambar fail/REUTERS

TEHRAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata hak negara itu untuk menjalankan pengayaan uranium di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) tidak boleh dirunding, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Beliau berkata rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) masih diteruskan melalui pengantaraan Pakistan semasa taklimat media mingguannya pada Isnin, sambil menegaskan bahawa hak Iran untuk pengayaan uranium adalah tidak boleh dipersoalkan di bawah NPT.

Beliau menegaskan bahawa perbincangan mengenai pengayaan berulang kali dibangkitkan dalam tempoh dua tahun lepas, namun Iran kekal dengan pendirian yang perkara itu tidak mempunyai asas untuk dipertimbangkan semula.

Menurut beliau, proses rundingan masih berjalan, dengan Iran sebelum ini mengemukakan “pelan 14 perkara” selepas pihak AS menyuarakan kebimbangan mereka dan kedua-dua pihak mengemukakan pandangan masing-masing.

Baghaei berkata Iran menerima satu set cadangan yang disemak melalui pengantara Pakistan,dan selepas menerima cadangan pihak lawan, Tehran menghantar pendiriannya dua malam lalu.

Beliau menegaskan yang rundingan dengan AS terus dijalankan melalui pengantaraan Pakistan, sambil menambah bahawa isu hak bukan sesuatu yang boleh dirunding dan hak pengayaan Iran di bawah NPT diiktiraf serta tidak memerlukan pengesahan mana-mana pihak lain.

Baghaei mengulangi bahawa Iran akan mempertahankan pendirian prinsipnya pada setiap peringkat proses itu.

Menjawab kenyataan Presiden Donald Trump mengenai cadangan penggantungan aktiviti pengayaan Iran selama 20 tahun, beliau berkata fokus Iran ketika ini adalah menamatkan perang, sambil menegaskan Tehran tidak akan berkompromi terhadap hak nuklearnya dan tiada perbincangan terperinci mengenai isu nuklear setakat ini.

-- BERNAMA-MNA

Must Watch Video