BISNES
RMK13: Perkasa PMKS dan TVET, wujud ekosistem progresif - PM

Menurut Anwar, kerjasama rapat antara institusi TVET dan pihak industri akan terus diperkukuh untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai antara pemacu utama pembangunan sosioekonomi negara.
Ringkasan AI
- PMKS diperkasa sebagai pemacu ekonomi: Sasaran sumbangan 50% kepada KDNK menjelang 2030 melalui penskalaan, pendigitalan dan sokongan GLC serta Dana Pelaburan Strategik.
- TVET distrategikan semula untuk sektor bernilai tinggi: Fokus kepada teknologi termaju dan kerjasama industri, dengan sasaran 1.2 juta peluang pekerjaan baharu serta inisiatif khas seperti Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET.
- Malaysia sasarkan kedudukan 20 terbaik dunia dalam Global Innovation Index: Pendekatan menyeluruh pembangunan modal insan dan inovasi sebagai penanda aras daya saing negara di peringkat global.
Antara inisiatif utama termasuk penyediaan Dana Pelaburan Strategik, pengukuhan modal kerja dan pembiayaan projek serta pelaksanaan Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PMKS.
Dalam masa sama, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi turut menjadi agenda utama, dengan penyelarasan pelbagai agensi seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta MARA.
Kerjasama rapat antara institusi TVET dan pihak industri akan terus diperkukuh untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi dalam kalangan tenaga kerja tempatan.
“Penawaran program TVET akan distrategikan semula dengan fokus kepada sektor bernilai tinggi dan berasaskan teknologi termaju, sejajar dengan keperluan industri seperti di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Koridor Hijau Iskandar Puteri (KIGIP) dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP),” ujar Anwar.
Kerajaan juga menyasarkan penciptaan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam ekonomi digital sepanjang tempoh RMK13.
Bagi menggalakkan penglibatan belia, Skim Pembiayaan Perkasa TVET MADANI dan Dana Latihan TVET akan diperkenalkan, di samping peluasan program TVET kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat MADANI yang menggabungkan nilai spiritual dan kepakaran teknikal.
Melalui pendekatan menyeluruh ini, Malaysia meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dalam Global Innovation Index, sebagai penanda aras penting daya saing negara di peringkat global.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami