BISNES
Rundingan tarif AS: Malaysia harap dapat jalin kerjasama baharu

Malaysia berharap rundingan tarif yang akan datang dengan Amerika Syarikat (AS) akan menghasilkan pengaturan kerjasama baharu, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia berharap rundingan tarif yang akan datang dengan Amerika Syarikat (AS) akan menghasilkan pengaturan kerjasama baharu, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
"(Datuk Seri) Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) memaklumkan pada minggu lepas bahawa secara umumnya, kita berharap akan wujud usaha kerjasama dalam merangka bentuk pengaturan baharu.
"Tetapi kita akan menunggu (hasil) rundingan berkenaan," kata Liew kepada pemberita selepas sesi panel bertajuk 'Deciphering Malaysia's Investment Cycles' di Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.
Tengku Zafrul kini berada di Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Wakil Perdagangan AS (USTR) Jamieson Greer.Tengku Zafrul dilaporkan melawat AS hari ini untuk meneruskan rundingan berkaitan tarif yang dikenakan ke atas barangan Malaysia dan beliau dijangka bertemu Greer serta pegawai kerajaan AS dan pelabur.
Beliau juga akan mengambil peluang untuk mengadakan libat urus dengan beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan termasuk Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN.
Pada 24 April lepas,Tengku Zafrul mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Greer.
Malaysia menyatakan keterbukaan untuk mengadakan rundingan dalam empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani isu halangan bukan tarif, mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.
Pada 2 April lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif terhadap kira-kira 60 negara termasuk 24 peratus ke atas kebanyakan barangan Malaysia.
Bagaimanapun, tarif itu telah ditangguhkan selama 90 hari bagi kebanyakan negara untuk membolehkan rundingan perdagangan diadakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami