KUALA LUMPUR: S&P Global Ratings (S&P) mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada A- dan Ringgit pada A, dengan prospek negatif.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengekalan penarafan itu membuktikan pengukuhan kedudukan sektor luaran negara.

Menurut beliau, pengekalan penarafan itu termasuk dasar monetari yang fleksibel serta keupayaan kerajaan untuk terus menyokong kemampanan pertumbuhan dan mengekalkan daya tahan ekonomi dalam persekitaran yang tidak menentu.

"Ini juga mencerminkan keyakinan S&P terhadap pentadbiran negara ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan, di mana sekitar  20 peratus daripada negara yang diberikan prospek negatif pada akhir 2020 telah disusuli dengan tindakan penurunan penarafan oleh tiga agensi penarafan utama setakat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, prospek pertumbuhan global masih berada dalam keadaan yang tidak menentu meskipun pandemik COVID-19 telah melanda hampir 18 bulan.

"Varian COVID-19 baharu telah menyebabkan kes jangkitan kembali meningkat sehingga mengakibatkan pelaksanaan semula langkah pembendungan serta penangguhan pembukaan sektor ekonomi dan sosial oleh kerajaan seluruh dunia.

"Rantau Asia terutamanya telah berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti peningkatan mendadak kes jangkitan, jumlah kematian yang lebih tinggi dan akses kepada perolehan bekalan vaksin terhad yang didominasi oleh negara maju," katanya.

Justeru, beliau berpendapat, pemulihan ekonomi dijangka berbeza bagi setiap negara dan sektor ekonomi berdasarkan tahap penularan pandemik dan sokongan fiskal negara tersebut.