KUALA LUMPUR: Brahim's Holdings Bhd yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) akan dinyahsenarai pada 3 Jun ini, iaitu 28 tahun selepas syarikat itu disenaraikan pada 1994, berikutan penolakan Bursa Malaysia terhadap rayuan kumpulan itu untuk tambahan masa bagi menyerahkan pelan penyusunan semulanya.

Bursa Malaysia berkata sekuriti kumpulan itu yang kini didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd mungkin kekal didepositkan, walaupun sekuriti itu dinyahsenarai.

“Sebagai alternatif, pemegang saham syarikat yang berhasrat untuk memegang sekuriti mereka dalam bentuk sijil fizikal boleh mengeluarkan sekuriti ini daripada akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) mereka yang diselenggara dengan Bursa Depository pada bila-bila masa selepas sekuriti syarikat itu dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Securities.

“Ini boleh dilaksanakan oleh pemegang saham yang mengemukakan borang permohonan untuk pengeluaran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Bursa Depository,” kata bursa itu.

Ia menambah bahawa Brahim's akan terus wujud apabila dinyahsenarai, tetapi sebagai entiti tidak tersenarai.

Brahim's diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai berstatus PN17 pada 28 Feb 2019 selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah ambang 25%.

Sementara itu dalam pemfailan berasingan, syarikat penyedia makanan atau katering penerbangan itu mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM4.85 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac (1QFY22) daripada kerugian bersih RM6.92 juta setahun sebelumnya, disebabkan sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada katering dalam penerbangan dan perkhidmatan berkaitan.

Hasil suku tahunan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM16.19 juta daripada RM7.15 juta.

Saham Brahim telah digantung sejak 22 April dan kali terakhir didagangkan pada satu sen, dengan nilai syarikat katering penerbangan itu pada RM3.07 juta.

Saham itu mencapai kemuncaknya sebanyak RM2.64 pada Mac 2014 — yang secara kebetulan apabila kali terakhir kumpulan itu melaporkan pendapatan positif, dengan keuntungan bersih RM22.03 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013. Sejak itu, saham syarikat merudum. - DagangNews.com