Saham Malaysia Building Society Bhd (MBSB) meningkat 9.7 peratus atau 23 sen kepada RM2.60 berikutan berita penggabungan tiga hala.

Kaunter diniagakan aktif dengan 32.97 juta saham bertukar tangan sehingga pada 12.06 tengah hari.

Mengenai penggabungan mega CIMB Group Holdings Bhd (CIMB)-RHB Capital Bhd. (RHB)-MBSB, penganalisis berpendapat pemanfaat utama ialah MBSB, dengan potensi pilihan tunai pada RM2.82 sesaham selepas ia dijadikan syarikat persendirian.

Ketiga-tiga pihak semalam mengumumkan bahawa permohonan telah dibuat kepada Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan kelulusan bagi penggabungan tiga hala melibatkan pertukaran saham antara CIMB Group dan RHB Capital, manakala MBSB dijadikan syarikat persendirian pada RM2.82 sesaham.

Pemegang saham MBSB akan mempunyai pilihan untuk menerima tunai atau saham CIMB Islamic Bank (CIB) sebagai pertimbangan.

Maybank Investment Bank Research, dalam kenyataan, berkata cadangan itu adalah positif bagi MBSB dan ia mempunyai kenaikan 19 peratus kepada harga saham semasa atau saham tidak disenaraikan dalam CIB.

Firma penyelidikan itu turut menaikkan saranannya bagi RHB kepada "beli" daripada "pegang", dan meningkatkan harga sasaran kepada RM10.45 dan melihat perjanjian itu sebagai neutral bagi CIMB.

Kenanga Research berkata, MBSB merupakan pemanfaat utama dalam perjanjian itu apabila RM2.82 nilai saksama kepada sahamnya mengatasi harga sasaran ringgit RM2.65 sebanyak 6.4 peratus dan 19 peratus melebihi harga pasaran semasa.

CIMB Islamic, RHB Islamic dan MBSB akan bergabung untuk membentuk sebuah bank Islam mega, kata Kenanga Research.

"Risiko utama pada ketika ini ialah kelulusan kawal selia, hak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengundi berhubung perjanjian itu dan penerimaan dana pelaburan yang berpangkalan di Abu Dhabi, Aabar Investments (Aabar)," kata Maybank Investment Bank Research.

Setakat pada 12.06 tengah hari, saham CIMB Group Holdings Bhd dan saham RHB Capital, masing-masing diniagakan pada RM6.725 (susut 25 sen) dan RM8.87 (naik 17 sen).