KUALA LUMPUR: Samsung Electronics Co Ltd telah memperkenalkan perubahan terkini dalam inovasi peranti boleh lipat premium menerusi dua telefon pintar baharunya, Galaxy Z Fold3 5G dan Galaxy Z Flip3 5G.

Presiden dan Ketua Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung Electronics TM Roh berkata dengan Galaxy Z Fold3 dan Z Flip3, Samsung sekali lagi mentakrifkan semula jangkaan melalui telefon pintar boleh lipat yang memperkasa pengguna dengan fleksibiliti dan versatiliti yang diperlukan dalam dunia yang bergerak pantas pada hari ini.

"Peranti ini melengkapkan pengguna dengan teknologi yang membuka cara baharu bagi memaksimumkan dan menikmati setiap detik dengan ekosistem yang dibina berdasarkan keterbukaan dan inovasi," katanya semasa acara pelancaran global secara maya 'Galaxy Unpacked: Get Ready to Unfold' malam tadi.

Roh berkata kedua-dua telefon pintar boleh lipat Z Fold3 dan Z Flip3 dilengkapi dengan IPX8 menjadikannya rintang air yang dibina dengan Armor Aluminium Samsung berserta Corning Gorilla Glass Victus yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.

Selain itu, kedua-dua peranti mempunyai filem pelindung baharu diperbuat daripada ''polyethylene terephthalate'' yang boleh regang.

Hadir dengan tiga pilihan warna klasik: Phantom Black, Phantom Green dan Phantom Silver, Z Fold3 adalah pusat kuasa pelbagai tugas sebenar dengan prestasi pada tahap lebih baik, Paparan Infinity Flex 7.6-inci tanpa gangguan dan mempunyai sokongan S Pen yang pertama kali buat peranti boleh lipat.

Sementara itu, bagi mereka yang mencari lebih banyak pilihan untuk menyesuaikan dengan gaya tersendiri, Z Flip3 adalah peranti yang ideal dengan reka bentuknya yang bergaya, kompak dan mudah dibawa, ciri kamera yang dipertingkatkan serta binaan skrin penutup yang lebih besar untuk penggunaan cepat di mana sahaja.

Turut menyertai Siri Galaxy Z adalah Galaxy Buds2 - fon telinga tanpa wayar yang direka untuk keselesaan dipakai sepanjang hari dan memberikan kualiti bunyi premium kepada pengguna telefon pintar, tablet, atau jam pintar Galaxy.

Galaxy Buds2 direka untuk keselesaan dipakai sepanjang hari, dan memberikan kualiti bunyi premium. - Foto Samsung

Pada masa yang sama, Samsung turut melancarkan Galaxy Watch4 dan Galaxy Watch4 Classic -- jam tangan pintar pertama yang menampilkan Wear OS dikuasakan oleh Samsung yang terbaharu, dibina bersama dengan Google dan dilengkapi dengan One UI Watch.

"Kami telah melihat pertumbuhan yang luar biasa untuk siri Galaxy Watch kerana pengguna telah menyedari manfaat kesihatan dan kemudahan alat pakai.

"Jadi kami membina rangkaian ciri kesihatan dan kesejahteraan yang kukuh untuk memberi pemahaman lebih mendalam dan bermanfaat kepada orang ramai mengenai kecergasan mereka secara keseluruhan," kata Roh.

Galaxy Watch4 dilengkapi dengan Sensor BioActive 3-dalam-1 Samsung yang inovatif, menawarkan reka bentuk lebih kecil dan kompak yang tidak mengurangkan ketepatan ukuran.

Siri Galaxy Watch4 pula dibina dengan simpanan memori 16GB dan didatangkan dalam kedua-dua saiz 40mm dan 44mm manakala Classic sedikit lebih besar berukuran 42mm dan 46mm.

Kedua-dua jam tangan mempunyai hayat bateri hingga 40 jam dan hanya perlu mengecasnya dalam masa 30 minit untuk bateri bertahan sehingga 10 jam.

-- BERNAMA