KUALA LUMPUR : Kerajaan Sarawak akan memuktamadkan urus niaga penambahan pegangan sahamnya dalam Affin Bank Bhd.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbincangan mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Dalam masa yang sangat terdekat akan diumumkan (penambahan saham di dalam Affin Bank).

Mengenai berapa peratus kepentingan yang akan dipegang oleh Kerajaan negeri Sarawak, ia akan diumumkan kelak. Saya tidak boleh beritahu sekarang," ujar beliau.

Abang Johari berkata demikian selepas merasmikan Tinjauan Pasaran Malaysia Affin Bank di ibu negara, hari ini.

Selain itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang merupakan pemegang saham utama Affin Bank dengan memiliki 28.785 peratus pegangan saham telah berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk urus niaga membabitkan saham tambahan dalam bank berkenaan.

Difahamkan, Sarawak ingin menambah kepentingan Affin Bank sehingga lebih 20 peratus, sekali gus menjadikannya sebagai pemegang saham utama.

"Kita akan mempunyai simpanan jika ada berlakunya krisis dan ia juga memberikan pulangan pelaburan," tambah beliau lagi.

Sebelum ini Kerajaan Sarawak dilaporkan berminat menambah pegangan sedia ada dalam Affin Bank Bhd sehingga 20 peratus.

Setakat 29 Disember 2023, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.796 peratus saham dalam Affin Bank.