KUALA LUMPUR: SATS Ltd melupuskan keseluruhan 49% pegangannya dalam Brahim's SATS Investment Holdings Sdn Bhd (BSIH) dengan pertimbangan tunai RM10 juta.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Singapura berkata, anak syarikatnya, SATS Investments Pte Ltd telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan Dewina Brahim’s Holdings Sdn Bhd dan Brahim’s Holdings Bhd untuk penjualan ekuiti.

BSIH pula memegang 70% kepentingan dalam penyedia perkhidmatan katering dalam penerbangan, iaitu Brahim’s SATS Food Services Sdn Bhd (BSFS), manakala baki 30% kepentingan dalam BSFS dipegang oleh Malaysia Airlines Berhad.

"Cadangan itu dibuat selepas semakan menyeluruh mengenai kedudukan pasaran semasa dan keadaan operasi BSFS yang mencabar serta nilai strategik dan kepentingan kewangan BSFS kepada syarikat,” katanya.

SATS Ltd merupakan pengendali perkhidmatan darat dan katering dalam penerbangan utama di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Syarikat itu mengawal kira-kira 80% perkhidmatan pengendalian darat dan perniagaan katering.

Terdahulu, Brahim's Holdings dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 3 Jun 2022 selepas pengendali bursa saham itu menolak rayuan kumpulan untuk diberikan lebih masa bagi menyerahkan pelan penyusunan semulanya.

Pada 1QFY22, kerugian bersih Brahim's menyusut kepada RM4.85 juta berbanding RM6.92 juta pada tahun sebelumnya kesan daripada sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada katering dalam penerbangan dan perkhidmatan berkaitan.

Pendapatan suku tahun mereka meningkat lebih sekali ganda kepada RM16.19 juta berbanding RM7.15 juta.

Sebelum itu, saham Brahim telah digantung sejak 22 April 2022 dan kali terakhir didagangkan pada satu sen, dengan menilai katering syarikat penerbangan itu pada RM3.07 juta. - DagangNews.com