KUALA LUMPUR: Sehingga Disember tahun lalu sebanyak 215 kontrak dengan nilai keseluruhan RM7.8 billion telah ditandatangani oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dengan 97 peratus (138 kontrak) daripada nilai keseluruhan kontrak, diperoleh secara bidaan kompetitif (tender terhad).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sebanyak tiga peratus lagi atau 77 kontrak telah dianugerahkan secara rundingan terus yang dibuat pada 2021, ketika DNB baru ditubuhkan dengan matlamat melaksanakan rangkaian 5G dalam jangka masa yang singkat.

"DNB baru ditubuhkan pada 2021 dengan matlamat melaksanakan rangkaian 5G dalam jangka masa yang singkat. Ketika itu, DNB memerlukan set kemahiran yang tidak tersedia ada dan hanya boleh diperoleh daripada syarikat global berkepakaran sesuai," katanya sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai kesediaan menguatkuasakan perolehan secara tender termasuk projek pelancaran 5G yang diterajui DNB yang mengundang pelbagai kontroversi sejak dilancarkan.

Katanya kerajaan tidak bercadang untuk membuka semula kontrak yang telah dimeterai dengan DNB sebagai menghormati prinsip 'sanctity of contract', namun memberi jaminan bahawa semua kontrak berhubung perkara itu pada masa depan akan dilaksanakan secara tender terbuka.

Fahmi berkata kementerian itu juga sedang mengkaji dan akan memperketatkan tadbir urus DNB agar piawaian dan standard perolehan terbaik akan diguna pakai oleh pihak syarikat.

Menjawab soalan tambahan Dzulkefly mengenai kualiti perkhidmatan (QoS) DNB, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan sentiasa mengawal selia serta mengaudit agensi itu bagi menjamin kualiti perkhidmatan.

Katanya, peruntukan di dalam Akta MCMC dan Akta Komunikasi dan Multimedia juga akan diguna pakai terhadap mana-mana penyedia perkhidmatan termasuk DNB sekiranya QoS tidak memuaskan.

-- BERNAMA