SEDCO capai dividen & bayaran balik pinjaman tertinggi, sasaran RM20 juta bagi 2026

Datuk James Wong Kein (empat dari kanan) dalam majlis penyampaian dividen dan sumbangan, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga dari kiri) - Foto FB Ewon Benedict
KUALA LUMPUR: Pelantikan profesional industri muda oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke dalam Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membuahkan hasil apabila Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) berjaya menyalurkan jumlah gabungan dividen dan bayaran balik pinjaman tertinggi kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh lebih 15 tahun.
Ringkasan AI
- Datuk James Wong Kein Peng memimpin SEDCO ke pencapaian sejarah dengan memulangkan RM10 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah, termasuk dividen dan bayaran balik pinjaman tertinggi dalam lebih 15 tahun.
- Sasaran SEDCO untuk tahun 2026 adalah menggandakan jumlah dividen dan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Negeri kepada RM20 juta, mencerminkan keyakinan terhadap projek-projek dan transformasi yang sedang dilaksanakan.
- SEDCO menjalankan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan projek berskala besar, program keusahawanan Bumiputera, sistem akauntabiliti prestasi KPI, dan pembangunan modal insan untuk memperkasa ekonomi tempatan Sabah.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, James berkata bagi tahun 2026, SEDCO menetapkan sasaran yang berani untuk menggandakan dividen dan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM20 juta.
"Sasaran ini mencerminkan keyakinan kami terhadap projek-projek yang sedang dibangunkan, prestasi subsidiari kami, inisiatif transformasi yang sedang dilaksanakan, serta kekuatan kepimpinan dan sistem operasi yang semakin matang.
"Kita semua mesti bekerjasama. Setiap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengurus Besar, jabatan dan bahagian untuk melaksanakan misi ini secara bertanggungjawab, telus, dan dengan komitmen kepada kecemerlangan demi rakyat Sabah," menurutnya.
James menjelaskan, prestasi kewangan SECDO yang kukuh sepanjang 2025 didorong hasil pelaksanaan pembaharuan korporat dan inisiatif strategik yang memacu transformasi kumpulan ke arah organisasi moden, profesional dan berimpak ekonomi jangka panjang.
Antara pencapaian utama ialah pengukuhan tadbir urus korporat melalui penubuhan Unit Pengurusan Projek dan Perolehan, yang memastikan proses tender dan kontrak dilaksanakan secara telus serta mematuhi garis panduan Kementerian Kewangan, sekali gus memperkukuh integriti dan akauntabiliti organisasi.
"SEDCO turut merangka beberapa projek pembangunan berskala besar bernilai berbilion ringgit, termasuk Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, Hab Logistik Sepanggar, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Sabah, Pembangunan Semula Menara SEDCO, Pusat Perubatan SEDCO serta projek pelancongan dan perbandaran lain.
"Semua projek ini tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah, kementerian berkaitan dan Jemaah Kabinet, dan dijangka menjana ribuan peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing pelaburan Sabah," katanya.
Dalam usaha memperkasa ekonomi tempatan, James menambah SEDCO melaksanakan Program Pembangunan Keusahawanan Bumiputera secara holistik bagi membantu usahawan Bumiputera Sabah berkembang daripada perniagaan kecil kepada syarikat yang mampan dan menguntungkan.
Program tersebut, katanya merangkumi pementoran sektor swasta, sokongan pembiayaan, jaringan komuniti serta penglibatan dalam projek agroteknologi dan pertanian menegak bagi menangani isu keselamatan makanan.
SEDCO juga memperkenalkan Sistem Akauntabiliti Prestasi KPI yang jelas di semua subsidiari dan jabatan bagi memastikan sasaran boleh diukur, pemantauan berstruktur serta pembangunan sistem ganjaran insentif berasaskan prestasi.
"Dalam aspek pembangunan modal insan, SEDCO menubuhkan Innovation Taskforce untuk melatih dan membimbing bakat muda melalui pendedahan industri, pementoran dan pembangunan kepimpinan sebagai persediaan pelan penggantian kepimpinan berikutan persaraan kakitangan kanan dalam beberapa tahun akan datang.
"Selain itu, SEDCO berjaya mencatat kemajuan ketara dalam pemulihan projek legasi, termasuk transformasi Darvel Bay Plaza Mall di Lahad Datu serta projek KKIP SME Park yang melibatkan 44 lot perindustrian PKS dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2026," jelas James lagi.
Melangkah ke tahun 2026, beliau berkata SEDCO menyatakan keyakinan untuk meneruskan momentum pertumbuhan berteraskan disiplin kewangan, tadbir urus kukuh dan budaya kepimpinan berprestasi tinggi, sambil merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri serta sokongan berterusan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan agenda pembangunan ekonomi Sabah.
Dalam masa sama, James merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh organisasi atas komitmen dan sumbangan mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


